USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PEMASARAN ATAS TALIAN BAKAL UBAH EKONOMI PDK DAN OKU

gfjhgj

USM KUBANG KERIAN, 21 Sept. 2018 – Dalam usaha memperkasakan ekonomi Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK), aktiviti melibatkan pengeluaran produk yang boleh diketengahkan kepada masyarakat telah dibuat oleh sebahagian PDK bertujuan untuk menambah sumber pendapatan.

Sejajar dengan perkembangan pesat penggunaan teknologi atas talian dewasa ini, Unit Transformasi Orang Kurang Upaya (OKU), Pusat Pengajian Sains Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM) dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Kelantan, menganjurkan bengkel 'Penggunaan Teknologi Atas Talian bagi Pemasaran Produk dalam Memperkasakan Ekonomi PDK'.

Bengkel dua hari itu mendedahkan peserta dalam kalangan penyelia dan petugas PDK kepada penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi bagi tujuan pemasaran hasilan PDK seperti platform dalam jaringan, aplikasi jaringan sosial, pembangunan kandungan material dan penyesuaian penggunaan aplikasi dan material untuk perniagaan atas talian.

Salah seorang peserta yang ditemui, Siti Fatihah Mohd Zakari, 21, dari PDK Taman Wangi, Gua Musang berkata, beliau sangat menghargai peluang menghadiri bengkel pada hari ini.

"Di PDK Taman Wangi, kami mengajar kemahiran menjahit kepada pelatih, dan Alhamdulillah selain daripada hasil jahitan dapat dijual, pelatih di sana juga turut menerima tempahan jahitan dari penduduk setempat," ujarnya ketika ditemubual.

Siti Fatihah yang memiliki Sijil Jahitan dari Kolej Komuniti berharap dapat memperkenalkan hasil jahitan pelatih kepada masyarakat di luar Gua Musang malahan lebih meluas lagi dengan penggunaan teknologi atas talian nanti.


Teks: Lailatul Hafiza Abdul Rashid/ Foto: Mohd Asrar Mohd Rokeman

  • Created on .
  • Hits: 932

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024