USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

SMK SG. ARA RAIH JUARA PERTANDINGAN INOVASI DAN REKACIPTA

jhkhjk

USM, PULAU PINANG, 18 Sept 2018 – Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Ara menjuarai Pertandingan Inovasi dan Rekacipta sempena Karnival Kimia Malaysia 2018 Zon Utara yang diadakan baru-baru ini di sini. 

Kumpulan ini yang mempertaruhkan projek Bioplastic Composites diwakili oleh Muhammad Aiman Hazmir, Daniel Goh Shang Choon dan Vizhalee Sanker serta diiring oleh Cikgu Akhbarhana Abdullah. 

Manakala tempat kedua dimenangi oleh SMK Tinggi Bukit Mertajam dengan projek Napier Grass as Natural Energy Resources dan tempat ketiga disandang oleh SMK Penang Free dengan projek bertajuk Egg Shell Plaster.

Sementara itu, Dekan Pusat Pengajian Sains Kimia (PPSK), Profesor Dr. Afidah Abd. Rahim berkata karnival ini telah membuka peluang kepada pelajar di sekolah menengah untuk ketengahkan hasil rekacipta dan inovasi sains untuk manfaat masyarakat. 

“Karnival ini dianjurkan oleh USM buat kali keenam dan mula dianjurkan pada tahun 2011 hasil penandatanganan Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Institut Kimia Malaysia (IKM) pada tahun 2010,” kata Afidah yang merasmikan karnival tersebut mewakili Naib Canselor USM. 

Tambahnya lagi, USM sering bekerjasama dan memberikan sokongan kepada IKM dalam menjalankan pelbagai aktiviti.

Karnival yang dianjurkan bertemakan Chemistry for Environmental Sustainability pada tahun ini disertai oleh 17 buah sekolah menengah di seluruh Pulau Pinang dan mempertandingkan 20 projek untuk diadili.

Pertandingan ini adalah anjuran bersama PPSK USM, IKM serta Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang dan Kedah.

Turut hadir ialah Penyelaras Program Karnival Kimia Malaysia Zon Utara dan juga pensyarah PPSK Profesor Madya Dr. Melati Khairuddin; Presiden IKM Datuk Soon Ting Kueh dan Pengerusi IKM Cawangan Utara, Profesor Madya Dr. Mas Rosemal Hakim Mas Haris.

Teks: Nor Rafizah Md. Zain

  • Created on .
  • Hits: 1466

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024