USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

APUCEN MELANGKAH KE ARAH MEWUJUDKAN MASYARAKAT PRIHATIN DEMI MASA DEPAN YANG LEBIH BAIK

hghkghj

BANGKOK, THAILAND, 8 Sept. 2018 – Asia-Pacific University-Community Engagement Network (APUCEN) komited dalam bergerak ke arah mewujudkan generasi muda yang seimbang dari segi pencapaian akademik dan akhlak serta memastikan mereka menanam nilai integriti dan etika dalam diri.

Demikian jelas Presiden APUCEN, yang juga Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Datuk Dr. Asma Ismail, di Mesyuarat Majlis APUCEN Wilayah ke-12 di Universiti Thammasat baru-baru ini, yang dihadiri oleh 11 daripada 14 Ahli Majlisnya.

Beliau berkata universiti kini menghadapi cabaran baru dalam bergerak ke arah Revolusi Industri 4.0 (4IR), era yang mana manusia kini perlu bersaing dengan automasi.

“Universiti perlu melihat dengan serius usaha menanamkan sifat percaya dan kebolehpercayaan dalam kalangan generasi muda. Nilai-nilai ini tidak boleh diajar dalam kuliah atau kelas tetapi perlu diajar melalui pengalaman, yang mana pembelajaran berasaskan perkhidmatan dan pembelajaran berasaskan pengalaman perlu dimasukkan ke dalam sistem pendidikan.

"Perkongsian dan kerjasama antara ahli-ahli dari negara-negara yang berbeza akan memberikan impak baru dalam menyelesaikan cabaran hari ini melalui pelbagai halatuju inovatif, seiring dengan moto APUCEN 'meraikan perbezaan kita ke arah matlamat yang sama,” tambahnya.

gyutyi

Beliau yang mempengerusikan mesyuarat itu berkata, APUCEN akan bekerjasama rapat dengan semua institusi anggota, badan bukan kerajaan (NGO) dan ahli korporat, dalam menggerakkan Agenda Libatsama Komuniti.

Tambahnya, inilah masanya untuk mewujudkan masyarakat prihatin yang dapat menyumbang kembali kepada masyarakat. Universiti yang berlainan dengan kekuatan yang berlainan kini akan bergabung sebagai satu entiti untuk bersama-sama menyelesaikan masalah global.

Selain itu, perkara berbangkit yang turut dibincangkan ialah mengenai sokongan oleh APUCEN dalam membentuk APUCEN Student Chapter untuk menjadi lebih inklusif dan holistik dalam inisiatif libatsama komuniti, sambil menggalakkan pembelajaran berasaskan komuniti dan pembelajaran berasaskan perkhidmatan. Kesemua institusi anggota telah menyokong usul ini untuk diwujudkan di institusi masing-masing.

Mesyuarat itu dihadiri oleh wakil dari USM, Kyoto University of Foreign Studies (KUFS), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Thammasat University, Chiangmai University, Universitas Andalas, Universitas Pendidikan Indonesia, San Pedro College, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan dan National University of Sciences and Technology.

"APUCEN telah bergerak secara aktif dan telah melaksanakan projek-projek Libatsama Komuniti di peringkat nasional dan antarabangsa bersama anggotanya, antaranya projek-projek di Nepal, Filipina dan Kemboja," kata Asma sambil mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada pihak-pihak yang terlibat secara langsung mahupun melalui penglibatan bersama.

Beliau berkata, "Inilah semangat APUCEN dalam bergerak maju bersama-sama melalui kerjasama."

APUCEN yang dilancarkan pada tahun 2011, kini berkembang dengan 94 ahli dari 19 negara, juga melangkaui rantau Asia Pasifik.

APUCEN turut menggalakkan mereka dalam sektor korporat untuk menjadi ahli, dalam usaha untuk bekerjasama dalam melaksanakan inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR).

Asma mengucapkan terima kasih kepada Universiti Thammasat yang menganjurkan Mesyuarat kali ini dan memperlihatkan projek libatsama komunitinya, iaitu komuniti Nang-Leong.

Asma turut dijemput menjadi penyampai ucaptama bertajuk “Community Engagement for a Better Future” di 2nd International Conference on Service Learning and Education, yang diadakan pada 4-6 September 2018 di Thammasat University, Campus Tha Prachan, Thailand.

Terjemahan: Syuhada Abd Aziz

  • Created on .
  • Hits: 955

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024