USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM JADI PILIHAN LIMA ARTIS THAILAND

DSC 5931

PULAU PINANG, 9 Sept. 2018 – Universiti Sains Malaysia (USM) sekali lagi menjadi lokasi pilihan lima artis Thailand bagi mempersembahkan hasil kerja seni halus mereka buat tatapan khas warga kampus dan orang ramai sempena pameran ‘Symbol of Life: 5 Series of Artworks from Thailand.’

Hampir 80 hasil seni halus kelima-lima artis tersebut dipamerkan di Muzium dan Galeri Tuanku Fauziah (MGTF), USM bermula 8 September sehingga 12 Oktober 2018.

Artis-artis tersebut, kesemuanya dari Fakulti Seni Halus universiti masing-masing, iaitu Penolong Profesor Bandhita Worasri, Jutarut Butpien dan Rapeepat Phonrattanapaiboon (Songkhla Rajabhat University); Tirasak Thongnuypram (Surat Thani Rajabhat University); dan Anchana Nangkala (Prince of Songkhla University, Kampus Pattani) menghasilkan hasil seni yang cukup unik dalam menyampaikan emosi, perspektif dan imaginasi dalam penciptaan karya mereka yang menarik untuk dihayati.

Pada majlis perasmian pameran tersebut, Timbalan Konsul-Jeneral Negara Thai di Pulau Pinang, Sukoom Somprasonk berkata, pameran ini cukup bermakna buat kedua-dua buah negara bagi berkongsi peluang ilmu seni halus termasuklah meningkatkan kerjasama dua hala dalam aktiviti berkaitan kesenian dan kebudayaan.

“Sebagai wakil dari Thailand, saya amat mengharapkan kerjasama hubungan baik antara kedua-dua negara lebih utuh bagi memperjuangkan seni dan budaya tempatan dan sememangnya saya menyeru kelima-lima artis ini untuk berkolaborasi di masa hadapan bersama artis-artis tempatan dalam bidang yang berkaitan terutamanya di Pusat Pengajian Seni, USM,” katanya ketika hadir merasmikan majlis pameran tersebut di MGTF kelmarin.

Tambah beliau, dengan usahasama ini, ia merupakan platform terbaik untuk rakyat tempatan terutamanya di Pulau Pinang merasai pengalaman hasil seni Thailand dalam mempromosi kepelbagaian budaya (cultural diversity) antarabangsa kedua-dua buah negara.

“Pameran ini mampu menjadi batu loncatan kepada ketiga-tiga universiti dari Thailand ini bagi merealisasikan harapan USM ke arah meningkatkan hubungan antarabangsa bagi mengadakan pameran peringkat antarabangsa melalui pelbagai jenis seni halus dan kebudayaan,” katanya.

Pada majlis yang sama, wakil kepada Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Dr. Md. Salleh Yaapar berkata, beliau amat yakin dengan sokongan dan kehadiran Timbalan Konsul -Jeneral Thailand ini mampu meningkatkan kerjasama baik di antara keempat-empat universiti membabitkan pertukaran kepakaran dan bakat mahupun akademia.

“Sudah semestinya dengan adanya kerjasama ini, kita perlu memikirkan bagaimana untuk mempertingkatkan lagi promosi seni halus melalui penganjuran pameran seni bertaraf dunia dengan pelbagai genre seni,” kata Md. Salleh yang juga Ombudsman USM.

Katanya lagi, pameran ini seharusnya dikembangkan lagi melalui rentas penyelidikan yang rapi dan tersusun kerana sebahagian besar budaya kedua-dua negara serantau ini mempunyai banyak persamaan terutamanya negeri-negeri di utara Semenanjung Malaysia seperti Kelantan, Kedah dan Perlis dengan Selatan Thailand.

“Semestinya kita sedia maklum tentang kebudayaan dan sejarah lampau yang membuktikan banyak persamaan di antara kedua-dua negara, misalnya Wayang Kulit, Mak Yong dan Menora, jadi wajar untuk kita berganding bahu selaku cendekiawan di Institut Pendidikan Tinggi memikirkan sesuatu bagi membangunkan seni dan budaya di peringkat lebih tinggi,” tambahnya.
 
Yang turut hadir adalah Pengarah (MGTF), Zolkurnian Hassan; Ratchaya Weerakarn, Pensyarah Fakulti Seni, Songkhla Rajabhat University, dan juga beberapa artis jemputan terkenal dari Bali, Indonesia.

Warga kampus dan orang ramai dijemput hadir ke Muzium dan Galeri Tuanku Fauziah (MGTF), USM bagi menyaksikan sendiri kesemua hasil seni lima artis dari Thailand yang dipamerkan sehingga 12 Oktober ini.

Maklumat lanjut boleh menghubungi talian +604-6533261 / 2137 / 4789 / 4788 atau e-mel: This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. atau boleh layari laman web di alamat: www.mgtfusmpenang.blogspot.com.

Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar/Foto: Mohd Fairus Md. Isa

  • Created on .
  • Hits: 1047

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024