USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

DUA BERADIK RAKAM SEJARAH TERSENDIRI

usmsya

PULAU PINANG, 19 Dis. 2012 – Pasangan adik-beradik merangkap kakitangan akademik berpengalaman di Universiti Sains Malaysia (USM) merakam sejarah tersendiri apabila kedua-duanya meraikan hari gemilang mencapai taraf akademik paling tinggi dalam pencapaian mereka.

Kedua-dua individu tersebut, Prof. Datuk Omar Shawkataly dan Prof. Datuk Abdul Khalil Shawkataly teruja menyampaikan syarahan umum sempena Pelantikan Profesor dalam bidang kepakaran masing-masing di USM baru-baru ini, dengan kehadiran kaum keluarga terdekat dan sahabat handai.

Omar menyampaikan syarahan bertajuk Tiga Puluh Tahun Penyelidikan Dalam Bidang Organologam dan Usaha Membangunkan dan Membudayakan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan di Institusi Pengajian Tinggi.

Syarahan berkenaan antara lain mengupas secara terperinci pengembangan karier beliau selain menggambarkan minat dan usaha penyelidikannya dalam bidang Kimia Organologam.

Omar berkata, bidang kimia organologam adalah satu cabang ilmu yang sangat menarik dan cenderung memberi banyak manfaat kepada bidang keselamatan dan kesihatan pekerjaan.

Katanya, kimia organologam adalah kimia bagi sebatian-sebatian yang mengandungi ikatan logam karbon dan perkembangannya di negara ini sangat pesat dengan pelbagai penemuan-penemuan menarik melalui pelbagai kajian yang dibangunkan.

``Bidang ini berkecenderungan untuk menghasilkan pelbagai hasil yang dapat menambahbaik dan meningkatkan kesedaran dalam memupuk budaya Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP).

``KKP adalah salah satu aspek yang perlu dibudayakan khususnya di institusi pengajian tinggi  dan diterima sebagai satu nilai. Buat masa ini pengetahuan KKP khususnya dalam kalangan pelajar adalah begitu cetek dan ia seharusnya dijadikan komponen penting dalam kurikulum di IPT,’’ ujarnya.

Manakala adiknya, Abdul Khalil yang berkepakaran dalam bidang penyelidikan dan pembangunan produk berasaskan biokomposit pula mengupas isu berkaitan Biomas dan Biokomposit: Potensi dan Masa Depan Teknologi Hijau di Malaysia.

Fokus syarahan beliau melihat kepada sisa buangan kelapa sawit yang dilihat mampu menjana pendapatan begitu tinggi kepada negara ekoran keluasan tapak penanaman tanaman tersebut di negara ini yang mencecah sehingga 6.0 milion hektar.

Katanya, masa depan industri biomas dan biokomposit memang berada pada tahap yang meyakinkan untuk menjana ekonomi negara untuk pengeluaran dan pengeksportan komponen ataupun produk siap untuk pasaran global.

Selain pasangan adik-beradik yang berasal dari Melaka tersebut, turut menyampaikan syarahan umum pada majlis tersebut ialah Profesor Hanafi Atan melalui tajuk syarahannya, Teknolgi Maklumat dan Komunikasi dalam Pembelajaran Berpusatkan Pelajar.

Anak kelahiran Segamat, Johor tersebut mengupas secara terperinci berkenaan kemajuan bidang teknologi maklumat dan komunikasi (TMK) yang telah banyak mengubah dan mempengaruhi kehidupan masyarakat pada hari ini.

Beliau turut mengaitkan kepesatan tersebut dengan kesediaan pendidik di era TMK ini untuk tampil denga kaedah pengajaran dan pembelajaran pelajar yang bersesuaian dengan keperluan pelajar pada abad ke-21 ini.

Hanafi turut mengetengahkan kaedah pengajaran Berpusatkan Pelajar (PBP) berasaskan TMK yang menjadi bidang tumpuan penyelidikan pengarang sejak tahun 2002.Teks: Marziana Mohamed Alias/Foto: Mohd. Fairus Md. Isa.

 

 

  • Created on .
  • Hits: 2624

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024