USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

TEKAD CEMERLANG BERSAMA USM

13906593 1081938411875865 5992344984608762652 n

PULAU PINANG, 4 Sept. 2018 – Atlet muda sukan renang yang sedang membina masa depannya tekad menzahirkan kecemerlangan bersama-sama Universiti Sains Malaysia (USM), walaupun turut menerima tawaran melanjutkan pengajian di tempat lain.

Anak kelahiran Sabah, Hollymax Bell berkata, beliau mempunyai strategi tersendiri untuk menyerlahkan bakatnya dan merasakan tawaran ke USM adalah platform terbaik untuknya tampil cemerlang dalam kedua-dua lapangan akademik dan sukan.

Katanya, USM mempunyai rekod yang baik sebagai antara institusi yang berupaya menyediakan suasana kondusif untuk menyerlahkan bakat pelajar dan dalam masa yang sama mempunyai reputasi cemerlang dalam ranking antarabangsa.

“Saya mempunyai abang yang pernah belajar di USM dan di sinilah beliau telah menyinar dan terpilih mewakili negara dalam pelbagai kejohanan renang di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.

“Justeru, ini adalah peluang keemasan untuk saya mengikut jejak langkah beliau. Saya turut teruja menjadi sebahagian warga pasukan renang USM dan komited membantu USM dalam sukan yang telah saya kuasai sejak berumur tujuh tahun ini,” jelas beliau.

Hollymax yang pernah mewakili negara dalam Asian School Games Under 18 dan bakal beraksi dalam Kejohanan Sukan Malaysia (SUKMA) 2018 adalah antara pelajar baharu yang diterima ke USM bagi Sidang Akademik 2018/2019.

Beliau bakal mengikuti pengajian dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Komunikasi setelah cemerlang di peringkat diploma dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.21.

USM juga telah menerima masuk seramai 24 pelajar yang juga atlet kebangsaan dan antarabangsa daripada pelbagai bidang sukan untuk mengikuti program pengajian yang ditawarkan di ketiga-tiga kampus.

Ini adalah usaha USM bagi melahirkan graduan yang Holistic, Entrepreneurial, Balanced, Articulate dan Thinking (HEBAT) dan mampu merealisasikan agenda dan wawasan universiti dan negara.

Teks: Marziana Mohamed Alias

  • Created on .
  • Hits: 1133

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024