DUA PENYELIDIK USM MENYINAR DI KOREA

usmprof

PULAU PINANG, 2 Jan. 2013 – Dua penyelidik USM mengharumkan nama negara di persada antarabangsa apabila tersenarai sebagai penerima anugerah khas sempena World Inventor Award Festival (WIAF) 2012 yang berlangsung di Seoul, Korea baru-baru ini.

Penyelidik berkenaan, Prof. Fauziah Ahmad dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam (PPKA) dinobat sebagai Women Invention Order Of Merit berdasarkan hasil kajiannya yang telah banyak menyumbang kepada pembangunan inovasi negara.

Selain itu, Prof. Hanafi Ismail dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral pula merangkul anugerah Agriculture Invention Order Of Merit, juga dalam komitmen jitunya membangunkan penyelidikan yang memberi banyak manfaat kepada aspek kelestarian.

Fauziah dan Hanafi masing-masing telah menyumbang kepakaran dalam penyelidikan berkaitan teknologi terkini dalam penyelesaian masalah bencana alam serta penghasilan produk hijau yang dapat membantu masalah pencemaran alam sekitar.

 Fauziah ketika ditemubual berkata, anugerah yang diterima dinilai berdasarkan kepada pencapaian produk di peringkat negara dan antarabangsa yang di ambil kira dari semua aspek baik inovatif, teknologi, penyelidikan, pendidikan, perkhidmatan dan kejayaan.

``Sebagai pendidik dan penyelidik USM, kemenangan ini amat bermakna dalam menyuntik semangat kami untuk terus berkhidmat dan memberikan yang terbaik kerana WIAF juga adalah medan berprestij yang pertama dianjurkan oleh organisasi berkenaan,’’ ujarnya.

WIAF 2012 dianjurkan oleh  Korea Invention News (KINEWS) dan dalam penganjurannya sejumlah 19 kategori dan 115 anugerah telah dipertandingkan dan disertai oleh para saintis, pihak industri, pelajar dan sebagainya dari seluruh negara. teks: Marziana Mohamed Alias/ Foto: Ehsan PPKA

 

 

Share This

Pusat Media dan Perhubungan Awam / Media and Public Relations Centre
Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800 USM, Pulau Pinang Malaysia
Tel : +604-653 3888 | Fax : +604-658 9666 | Email : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.
Laman Web Rasmi / Official Website : Universiti Sains Malaysia
Client Feedback / Comments
| USM News Portal. Hakcipta Terpelihara USM 2015