USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

TAWARAN PELAJAR ANTARABANGSA KE USM NAIK 100 PERATUS

gujki9089

USM, PULAU PINANG, 2 September 2018 – Tawaran pelajar antarabangsa ke Universiti Sains Malaysia (USM) pada sesi akademik 2018/2019 meningkat 100 peratus berbanding sidang lepas.  

Pada sidang kali ini, seramai 283 calon pelajar antarabangsa dari 36 buah negara akan mendaftar ke USM berbanding 141 orang pelajar tahun lalu. Paling ramai pelajar adalah dari China iaitu 83 orang, Yemen (25), Indonesia (23) dan Arab Saudi (19).   

Antara  negara lain adalah Mesir, Maldives, Kanada, Brunei, Pakistan, Bangladesh, Bahrain, Thailand, Nigeria, Tanzania, Saudi Arabia, Jepun, Syria, Jordan dan Emiriah Arab Bersatu (UAE). Negara asal pelajar juga meningkat dari 24 buah negara pada tahun lalu berbanding 36 pada sidang kali ini.

Peningkatan pengambilan pelajar antarabangsa adalah selaras dengan agenda pengantarabangsaan USM sebagai sebuah Universiti APEX iaitu bagi Program Pemacuan untuk Kecemerlangan atau Accelerated Programme for Excellence (APEX).

USM juga mewujudkan dua saluran kemasukan pelajar iaitu Saluran Perdana  dan juga Saluran Alternatif iaitu Luar Negara, Kemasukan Khas (Staf kerajaan), Warga Budaya, Warga Sukan dan Bottom Billion B40.

Bagi memperkasakan sukan negara, USM  juga telah menerima masuk seramai 24 pelajar yang juga atlet kebangsaan dan antarabangsa daripada pelbagai bidang sukan untuk mengikuti program pengajian di sini. Ini adalah usaha USM bagi melahirkan graduan yang Holistic, Entrepreneurial, Balanced, Articulate danThinking (HEBAT) dan mampu merealisasikan agenda dan wawasan Universiti dan negara.

Antara warga sukan yang diterima masuk ke USM ialah perenang, Hollymax Bell yang pernah mewakili negara dalam Asian School Games Under 18; pemain bola sepak, Muhammad Nukman Deresi yang berasal dari Kedah, dan Nur Maisarah Mohd Jamil dalam acara petanque.  

Hollymax diterima masuk untuk mengikuti pengajian dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Komunikasi setelah cemerlang di peringkat diploma dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.21 manakala Muhammad Nukman dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Perumahan, Bangunan dan Perancangan dan memperolehi PNGK 3.52 di peringkat matrikulasi. Nur Maisarah akan mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda Sastera.

USM juga turut mengambil perhatian terhadap agenda University Social Responsibility (USR) yang mana Universiti ini terus mengekalkan konsep pengambilan Bottom Billion (B40) dengan memberi ruang dan peluang kepada calon pelajar daripada golongan tercicir dan golongan kurang berkemampuan untuk melanjutkan pengajian di USM. Seramai 106 calon dari kelompok ini yang memenuhi syarat akademik dan kriteria khas sosioekonomi yang ditetapkan oleh USM, diterima masuk untuk sidang kali ini.

USM turut prihatin dan memberi peluang kepada 10 Orang Kelainan Upaya (OKU) untuk merealisasikan cita-cita menggenggam ijazah.

USM merupakan satu-satunya universiti awam di Malaysia yang menawarkan program off-shore di luar negara, iaitu di India melalui Program Antarabangsa Doktor Perubatan USM-KLE dengan Karnataka Lingayat Education Society (KLES) di Belgaum, India. Pelajar program ini akan mengikuti minggu Siswa Lestari di Kampus Kesihatan USM di Kubang Kerian Kelantan selama 5 hari dan kemudiannya melanjutkan pengajian di Kampus USM-KLE, Belgaum, India selama lima tahun.

USM juga meneruskan pengambilan pelajar melalui program off-shore pada tahun 2018 ini bagi program kerjasama akademik dengan Politeknik Port Dickson (PPD) melalui Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi Ijazah Sarjana Muda Sains (Perumahan, Bangunan dan Perancangan)  (Kepujian) (Senibina). Pelajar akan mengikuti minggu Siswa Lestari di USM selama 5 hari seterusnya akan mengikuti program Ijazah Senibina USM di Politeknik Port Dickson, Negeri Sembilan selama tiga tahun.

Secara keseluruhan, sejumlah 4,615 calon dari lepasan STPM/Matrikulasi/Asasi/ Diploma/Setaraf ditawarkan peluang pengajian di ketiga-tiga Kampus USM bagi mengikuti program Ijazah Sarjana Muda (Penuh Masa) pada sidang kali ini. Pecahan ambilan pelajar mengikut kampus adalah Kampus Induk 3,221 pelajar, Kampus Kejuruteraan 768 pelajar dan Kampus Kesihatan 626 pelajar.

Teks: Nor Rafizah Md. Zain

  • Created on .
  • Hits: 1387

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024