USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

DUA PROFESOR SAMPAIKAN SYARAHAN SEMPENA PELANTIKAN PROFESOR USM

usmsyarahan

PULAU PINANG, Disember 2012 – Dua profesor Universiti Sains Malaysia (USM) iaitu Prof. Abdul Rahman Othman dan Prof. Othman Sulaiman telah menyampaikan syarahan dalam bidang kepakaran masing-masing sempena Majlis Syarahan Umum Pelantikan Profesor di Dewan Budaya USM baru-baru ini.

Majlis Syarahan Umum Pelantikan Profesor ini menjadi simbolik kepada pencapaian tertinggi yang diraih oleh para akademia dalam keringat mereka menabur ilmu kepada anak bangsa.

Dalam syarahannya yang bertajuk ‘Potensi Bahan Biosumber Terbuang Batang Kelapa Sawit Tua’, Prof. Othman Sulaiman berkata, batang kelapa sawit tua merupakan bahan biosumber terbuang yang mempunyai potensi yang besar untuk dimanfaatkan di negara kita sebagai bahan berguna bagi tujuan komersial.

“Biasanya pokok kelapa sawit yang tua akan ditebang dan terbuang begitu sahaja. Ini merupakan suatu pembaziran kerana jika keunikan batang dan pelepah pokok ini dieksplotasi sepenuhnya menggunakan aplikasi kaedah yang bersesuaian, maka bahan yang lebih berguna dapat dihasilkan daripadanya.

“Antara bahan berguna yang dapat dihasilkan ialah alkohol (seperti etanol) yang diperoleh daripada proses pemerahan dan pemeraman sap (air gula) yang terkandung dalam batang, manakala batang kelapa sawit yang telah dikeluarkan kandungan sapnya dan dihancurkan dapat digunakan untuk industri berasaskan gentian seperti pulpa dan kertas, bod gentian dan sebagainya,” kata Othman.  

Menurutnya lagi, penemuan ini diharap bukan sahaja dapat memanfaatkan sebahagian bahan biosumber yang biasanya akan terbuang begitu sahaja, malah diharap ia juga boleh menjana pendapatan tambahan kepada industri berkaitan di samping membantu mengurangkan masalah pencemaran alam sekitar.

Prof. Othman yang juga Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar, Institut Pengajian Siswazah (IPS), banyak menjalankan kajian dalam bidang sifat asas dan ketahanan kayu dan bukan kayu, dengan tumpuan kepada penyelidikan buluh dan kelapa sawit. Beliau memulakan khidmatnya di USM sebagai pensyarah di Pusat Pengajian Teknologi Industri pada Mac 1993.

Sementara itu, dalam majlis syarahan yang sama, Profesor Abdul Rahman Othman telah mengupas tajuk ‘Ujian t Lasak: Betulkah Begitu?’ yang mana beliau mengkaji had keteguhan dan kelasakan ujian t yang sering digunakan dalam kaedah analisis statistik.  

Menurut Abdul Rahman, kepopularan ujian t dan penggunaan yang mudah melalui perisian atau sofwer telah menyebabkan ia disalahgunakan.

“Kesalahan besar yang sering dilakukan oleh pengguna-penguna ujian ini ialah mereka mengabaikan andaian-andaian yang dibangunkan bersama dengan ujian t, dan menggunakan ujian ini secara melulu dalam analisis statistik.

“Tambahan pula, ramai yang menganggap ujian t adalah teguh yakni dapat digunakan dalam semua keadaan. Akan tetapi, dapatan kajian saya menunjukkan bahawa ujian-ujian t sememangnya tidak teguh. Justeru itu, ujian t juga adalah tidak lasak dalam semua keadaan kerana ia bergantung kepada andaian-andaian ujian tersebut,” kata Abdul Rahman lagi.

Prof. Abdul Rahman memulakan khidmatnya di USM sebagai kakitangan akademik perintis di Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh pada tahun 1984 dan dinaikkan pangkat ke Profesor pada tahun 2011.

Turut hadir dalam majlis syarahan umum tersebut ialah Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa) Prof. Ahmad Shukri Mustapa Kamal, dan pegawai-pegawai utama universiti yang lain. – Teks: TAN EWE HOE

  • Created on .
  • Hits: 2740

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024