USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM NAIB JOHAN SUKUM UMP 2018

39080710 1826177534098339 1431720385979613184 n

UMP, GAMBANG, PAHANG, 19 Ogos 2018 – Universiti Sains Malaysia (USM) mengungguli tempat kedua dalam Kejohanan Sukan Antara Staf Universiti Malaysia Ke-43 (SUKUM) 2018 secara keseluruhan daripada 21 kontinjen yang mengambil bahagian membabitkan 23 acara sukan yang berlangsung selama 9 hari di Universiti Malaysia Pahang (UMP) sebagai tuan rumah.

Seperti tahun-tahun sebelum ini, kontinjen USM terus menjadi pencabar utama dalam setiap edisi temasya sukan tahunan ini dan mengekori rapat pungutan pingat keseluruhan di belakang juara bertahan Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP), dengan hasil kutipan 17 emas, 11 perak dan 17 gangsa.

Pingat emas USM dituai dari hasil kemenangan acara sukan Olahraga (8), Ping Pong (4), Petanque (3) manakala 2 emas lagi disumbangkan oleh pasukan Lumba Basikal dan Bergu Badminton Veteran.

USM masih lagi mampu bersaing tatkala rata-rata sandaran diletakkan di bahu atlet-atlet veteran. Faktor ketandusan atlet senior juga mewujudkan sedikit ruang antara juara keseluruhan UNIMAP dan USM apabila jumlah pungutan pingat lebih terarah kepada pungutan pada saingan olahraga senior, tetapi USM tetap berjaya dalam setiap acara yang disertai malah tetap berupaya memberikan 100% saingan di SUKUM UMP 2018.

Pencapaian ini didokongi dengan semangat juang yang tinggi dan usaha pihak pengurusan Universiti menjalinkan satu hubungan sihat melalui program #USMFit, yang mana ianya telah diterjemahkan kepada hasil yang amat positif.

Ketua Kontinjen USM, Profesor Dato’ Dr. Ahmad Hj Zakaria senantiasa melihat dan memantau persiapan dan pencapaian setiap atlet individu mahupun atlet dalam acara berpasukan agar ianya dapat memberi impak pada setiap penyertaan USM dalam acara-acara sukan yang dipertandingkan.

“Kita telah menerapkan sains sukan untuk membantu atlet merealisasikan potensi dan kebolehan diri sendiri, dan ia telah membuahkan hasil seperti yang dapat dilihat dari pencapaian atlet dalam kejohanan kali ini.

"Kita berjaya pada SUKUM kali ini adalah kerana komitmen setiap individu dan pasukan USM yang melihat penyertaan kali ini dengan lebih berfokus dan berupaya untuk bersaing.

“Malah terdapat beberapa atlet USM berupaya mewakili beberapa acara sukan dan masih mampu menyumbang pingat, ini yang kita mahukan iaitu bakat dan usaha seiring dengan pencapaian.

“Selepas ini kita akan memastikan persiapan atlet secara berterusan agar kita tidak akan keciciran dalam menjayakan sukan di USM," ujarnya selepas acara penutupan rasmi SUKUM UMP 2018 di sini semalam.

Sementara itu, Pengarah Pusat Sukan dan Rekreasi USM, Tuan Haji Muhamad Mohd Hanif melihat perkembangan sukan dalam kalangan warga kampus amat menakjubkan apabila pencapaian SUKUM kali ini dinilai sebagai antara yang terbaik, dan akan terus membuka ruang bagi semua atlet dan warga kampus menikmati sukan di USM di samping membudayakan kehidupan sihat dengan bersukan.

"Kita melihat sukan ini sebagai salah satu aktiviti gaya hidup sihat dan ianya berupaya menjalinkan sifat bersaing yang baik di samping menaikkan nama USM seiring dengan apa jua bentuk pencapaian yang boleh dibanggakan.

“Kami di Pusat Sukan dan Rekreasi USM sentiasa membuka peluang dan ruang buat warga USM menikmati sukan ini sebagai wadah aktiviti sihat," katanya.

Semangat kesukanan yang tinggi ditonjolkan oleh setiap atlet staf USM di sepanjang SUKUM dalam menyatupadukan warga staf dari pelbagai peringkat termasuk pensyarah bertaraf profesor sehingga kakitangan kumpulan sokongan.

Penyatuan atlet staf USM menerusi penyertaan SUKUM ini merupakan kunci penting bagi menyemai dan membudayakan semangat setiakawan serta kerja berpasukan.

Sokongan dari Naib Canselor dan semua Ketua Jabatan terus menjadi pemangkin sukan di USM. Ianya direncanakan dengan pencapaian memberangsangkan sepanjang tahun 2018. Penglibatan secara langsung ini mencerminkan kebersamaan USM dalam merangka kejayaan yang membanggakan.

Temasya SUKUM kali ke-43 UMP Gambang, Pahang telah berlangsung dari 10 hingga 18 Ogos 2018 melibatkan penyertaan 21 Universiti seluruh Malaysia, dan ia merupakan acara sukan tahunan terbesar di peringkat staf IPTA Malaysia.

Teks: Pusat Sukan & Rekreasi USM/Suntingan: MPRC

  • Created on .
  • Hits: 1142

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024