USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PEMENANG HADIAH NOBEL KEAMANAN 2006 KEMBALI KE USM: KUPAS ISU BERKAITAN DUNIA DENGAN TIGA SIFAR – SIFAR KEMISKINAN, PENGANGGURAN DAN PELEPASAN KARBON

37818497 1874554045938953 2022509948046409728 n

 

Nota: Mengambil kira terdapat permintaan yang tinggi untuk menyertai Sesi Syarahan khas ini, tempat/lokasi syarahan telah ditukarkan ke Dewan Budaya.

Universiti Sains Malaysia (USM) secara eksklusif membawakan khas Profesor Muhammad Yunus, pemenang Hadiah Nobel Keamanan (2006) di atas sumbangan beliau dalam membasmi kemiskinan menerusi Grameen Bank yang berkonsepkan mikrokredit dan mikro-kewangan, ke USM bagi berkongsi pengalaman luas beliau dalam membantu menaikkan sosio ekonomi golongan terkebawah dalam satu sesi syarahan khas pada hari Sabtu, 11 Ogos 2018, jam 3.00 petang di Dewan Budaya, USM Pulau Pinang.

Pemikir ulung merangkap pakar ekonomi yang berasal dari Bangladesh ini bukan nama asing bagi USM kerana beliau telah banyak berkongsi kepakaran khususnya dalam usaha USM mewujudkan skim pinjaman mikrokredit kepada kakitangan berpendapatan rendah menjana ekonomi mereka untuk kehidupan yang lebih berkualiti.

Beliau yang juga penerima Ijazah Kehormat Doktor Ekonomi USM (2007) akan mengupas tajuk syarahan ‘A World of Three Zeros - The Role of Academic, Corporate and Public.’

Program di bawah kelolaan Pusat Pengajian Siswazah Perniagaan (GSB) ini bertujuan untuk memupuk kesedaran dalam kelestarian dan semangat kemanusiaan dalam kalangan akademia, korporat, mahasiswa dan masyarakat awam. Ia adalah satu objektif yang selari dengan usaha-usaha USM ke arah melestarikan pembangunan sosio ekonomi golongan terkebawah.

Program khas melibatkan tokoh akademia bertaraf dunia ini turut berperanan sebagai strategic differentiation bagi mempromosikan GSB USM, sekaligus melonjak imej GSB USM sebagai salah sebuah pusat pengajian siswazah perniagaan yang berprestij di negara ini dan juga di persada dunia.

Teks: Marziana Mohamed Alias

  • Created on .
  • Hits: 1312

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024