USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

ROSEFAEZAH TERIMA APC ALLAHYARHAM SUAMI

QK4A6640

PULAU PINANG, 2 Ogos 2018 – Rosfaezah Abu Hassan, 57, balu kepada Allahyarham Mohd Shamsuri Jusuh hari ini menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Universiti Sains Malaysia (USM) bagi pihak allahyarham suaminya di sini hari ini.

Allahyarham Mohd Shamsuri Jusuh, 58, meninggal dunia akibat serangan jantung pada 16 Mac lalu setelah empat hari pulang dari mengerjakan umrah bersama isteri.

QK4A6662

Beliau yang bekerja sebagai Pembantu Pustakawan di Perpustakaan Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT), telah bersara wajib pada 2 Januari 2017 dan tidak sempat mengetahui beliau menerima APC untuk tahun lalu.

“Jika beliau masih ada, pastinya beliau sangat gembira dan bangga dengan anugerah ini kerana beliau adalah seorang staf yang sangat berdedikasi dalam kerja serta komited dalam apa yang beliau lakukan sepanjang lebih 28 tahun berkhidmat di USM,” kata Rosfaezah ketika ditemui di majlis APC USM yang berlangsung di Setia SPICE Convention Centre di sini.

“Ini adalah kali kedua allahyarham menerima APC dan beliau sangat layak menerima anugerah ini kerana sikap rajin dan komited dalam kerja,” tambah Rosfaezah yang telah lebih 20 tahun mendirikan rumahtangga dengan allahyarham, dan sangat memahami tugas dan tanggungjawab Allahyarham.

Allahyarham Mohd Shamsuri adalah antara 426 staf USM dari IPPT, Kampus Kejuruteraan dan Kampus Induk yang menerima APC bagi tahun 2017.

Daripada jumlah tersebut, 108 staf adalah dalam kalangan staf akademik, 60 staf Pengurusan dan Profesional serta 258 staf Kumpulan Pelaksana.

DSC 2302

Menurut Naib Canselor USM, Profesor Datuk Dr. Asma Ismail, pengiktirafan ini adalah sebagai tanda USM menghargai staf yang menunjukkan prestasi kerja yang cemerlang.

“Saya berharap pengiktirafan dan penghargaan seumpama ini akan menjadi pendorong dan pemangkin kepada semua staf untuk terus memberikan perkhidmatan yang lebih berkualiti dan lestari demi kecemerlangan Universiti,” tambah Asma.

Penerima APC pada setiap tahun menerima sijil penghargaan dan juga Sijil Simpanan Premium berjumlah RM1,000 setiap seorang.

DSC 2294

Selain Naib Canselor, Timbalan Naib Canselor Akademik & Antarabangsa, Profesor Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah dan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar & Alumni, Profesor Dato’ Dr. Adnan Hussein turut menyampaikan sijil kepada penerima-penerima APC.

Turut hadir meraikan keseluruhan staf ialah Ahli-ahli Lembaga Gabenor Universiti, Ahli-ahli Jawatankuasa Pengurusan Universiti dan ketua-ketua jabatan.

Teks: Nor Rafizah Md. Zain

  • Created on .
  • Hits: 1452

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024