USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

ROH APEX PERLU TERUS DIPERKASAKAN - MANTAN NAIB CANSELOR

DSC 9083

USM, PULAU PINANG, 20 Julai 2018 – Roh APEX perlu diperkasakan ke semua peringkat staf universiti, pelajar mahupun alumni agar selari dengan misi dan visi universiti yang sentiasa mencorakkan nilai-nilai kemanusiaan dan kelestarian hari esok.

Itu harapan Mantan Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Tan Sri Dato' Dzulkifli Abdul Razak yang mahukan aspek yang perlu ditonjolkan USM sebagai sebuah universiti APEX sentiasa dipertingkatkan dan menyeluruh kepada semua warga kampus memahami dan menghayati bagi memastikan USM berada pada landasan yang tepat.

Beliau berkata antara intipati penyumbang kepada pembangunan teras APEX adalah aspek kebajikan staf dari segi dorongan mental dan fizikal agar sentiasa berdaya maju dan proaktif dalam penyampaian tugas.

DSC 9069

“Seorang pemimpin harus mengenali staf di bawah seliaannya secara dekat dan kerap memberi semangat agar mereka merasakan diri mereka dihargai,” tambah beliau yang kini adalah Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

“Humanise the university” bermaksud memastikan kepentingan kemanusiaan sebagai salah satu nilai yang paling penting dalam menuju ke arah kelestarian seperti yang telah ditekankan di dalam visi USM iaitu ‘Mentransformasikan Pendidikan Tinggi untuk Kelestarian Hari Esok’.

Dzulkifli juga menekankan agar semua warga USM terus bercita-cita untuk mengejar impian dengan status APEX yang diperolehi dan menanamkan sifat untuk terus berkhidmat kerana keinginan diri sendiri, terutama kepada golongan muda yang masih baru di USM tidak kira staf mahupun pelajar.

Selain itu, beliau juga turut berkongsi tentang Mantan Naib Canselor yang pertama, Allahyarham Tan Sri Datuk Hamzah Sendut yang banyak menabur jasa terhadap pembangunan USM sejak kampus ini ditubuhkan.

DSC 9047

Beliau menceritakan sejarah penubuhan USM (The Soul of USM) dan berkongsi beberapa sumbangan dan idea yang telah ditinggalkan oleh Allahyarham.

Dzulkifli merupakan Mantan Naib Canselor USM kelima iaitu dari tahun 2000-2011 dan sekarang memegang jawatan Presiden Persatuan Alumni USM (PAUSM) 2017-2019.

Beliau adalah tokoh yang telah berjaya meletakkan USM sebagai satu-satunya universiti awam di negara ini yang dipilih oleh Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia untuk memegang status Accelerated Programme For Excellence (APEX) pada tahun 2008.

Sepanjang kepimpinan beliau di USM, Dzulkifli sangat memfokuskan kepada kelestarian dunia, kemanusiaan dan masa depan manusia serta penggunaan perkataan “sejahtera” yang memberikan impak yang positif dan baik.

Beliau juga turut menekankan aspek penting untuk menjadi seorang ketua dan pemimpin yang baik dan bukan dengan hanya memikirkan pangkat sahaja.

Perkongsian yang amat bermakna itu diadakan di Kampus Induk setelah diadakan di dua kampus lain pada bulan lalu, dengan dihadiri seramai 200 orang dalam kalangan staf, pelajar dan juga alumni USM.

DSC 9088

Sesi soal jawab juga dibuka kepada para hadirin yang hadir agar mereka dapat bersama-sama berkongsi ilmu dan pendapat yang dimiliki masing-masing.

Turut hadir ialah isteri beliau, Puan Sri Datin Masrah Abidin; Ahli Lembaga Gabenor Universiti, Profesor Dato’ Dr. Ahmad Shukri Mustapa Kamal; Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa, Profesor Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah dan Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, Profesor Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed.

Teks: Puteri Najwa Othman (Pelajar praktikal MPRC)/Suntingan: Nor Rafizah Md. Zain

  • Created on .
  • Hits: 1625

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024