USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

NSC MEMUPUK MINAT STEM DALAM KALANGAN PELAJAR SEKOLAH

IMG 0022

USM, PULAU PINANG, 15 Julai 2018 – Sekumpulan pensyarah muda Universiti Sains Malaysia (USM) yang merupakan ahli Young Scientist Network (YSN) di bawah Akademi Sains Malaysia (ASM) telah menganjurkan pertandingan National Science Challenge (NSC) 2018 Peringkat Negeri Pulau Pinang di sini baru-baru ini.

Dalam ucapan di majlis penutupan dan penyampaian hadiah NSC 2018, Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi USM, Profesor Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed mewakili Naib Canselor USM, berkata, beliau bangga dengan inisiatif yang diambil oleh pensyarah-pensyarah muda tersebut menganjurkan program seumpama itu yang dapat memupuk minat pelajar-pelajar sekolah untuk mendalami bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).

“Saya berharap dalam kalangan pelajar-pelajar yang mengambil bahagian dalam pertandingan ini, ada yang bakal menjadi penerima Anugerah Nobel Prize pada masa akan datang.

“Sehubungan itu, saya amat berharap pertandingan sebegini dapat diteruskan bagi menghasilkan lebih ramai pelajar yang akan menjadi ‘feeder’ kepada pelajar aliran sains di Tingkatan 6, peringkat ijazah pertama dan ijazah tinggi,” tambahnya lagi.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada penganjur program yang diketuai oleh Dr. Nethia Mohana Kumaran, pensyarah kanan Pusat Pengajian Sains Kajihayat USM dan ahli-ahli jawatankuasanya, begitu juga dengan pihak-pihak yang menyokong program itu saban tahun, iaitu Exxon Mobil; Kementerian Pendidikan Malaysia; Kementerian Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar; Sasbadi Online, Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Japan Science and Technology Agency (JST).

SMJK Perempuan China Pulau Pinang (PCGHS) dengan pasukan yang terdiri daripada Lim Syen, You Chin dan Siu Pei muncul sebagai juara pertandingan NSC 2018 Peringkat Negeri Pulau Pinang, diikuti oleh SMK Bukit Mertajam; SMJK Chung Ling; pasukan ‘wildcard’ dari SMJK Chung Ling, SMK Bukit Mertajam and SMK Bukit Jambul; dan tempat ke-5 SMK Bukit Jambul.

Ketika ditemuramah, You Chin berkata, “Kami amat gembira kerana usaha dan kerja keras kami telah membuahkan hasil, dan pencapaian kami hari ini akan menyemarakkan lagi semangat kami untuk meningkatkan prestasi kami di peringkat seterusnya di samping mendalami pengetahuan sains kami.”

Sementara itu, guru yang mengiringi pasukan PCGHS berkata, ketiga-tiga pelajar yang mewakili pasukan sekolah PCGHS begitu bertekad untuk memenangi hadiah utama Grand Final cabaran ini kerana juara NSC berpeluang untuk mengadakan lawatan sambil belajar di Stockholm, Sweden dan menyaksikan majlis Nobel Prize Award yang berprestij, yang diadakan di sana setiap tahun.

Sebagai pemenang, PCGHS akan mewakili negeri Pulau Pinang untuk bersaing dengan pemenang dari negeri-negeri lain bagi merebut tempat ke Grand Final pada 30 Ogos nanti.

National Science Challenge ialah pertandingan tahunan sains yang dianjurkan oleh Young Scientist Network, di bawah Akademi Sains Malaysia (YSN-ASM), Kementerian Pendidikan Malaysia untuk memupuk kecenderungan dan minat pelajar sekolah dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).

Ia merupakan program berunsurkan pertandingan yang mensasarkan pelajar sekolah menengah berumur 16 tahun di Malaysia, dan menguji pengetahuan saintifik pelajar melalui ujian, kuiz, sesi ‘pitching’ dan eksperimen ‘hands-on’ inovatif dengan tahap kesukaran yang berbeza.

NSC peringkat Negeri Pulau Pinang tahun ini juga menampakkan kelainan kerana menampilkan Dr. Siti Kahyriyyah Mohd Hanafiah, yang baru-baru ini dinobat ‘Komunikator Sains Terbaik Dunia’ untuk mengadakan sesi perkongsian mengenai sains kepada para pelajar. Beliau ialah pensyarah dari Pusat Pengajian Sains Kajihayat dan juga ahli Young Scientist Network (YSN).

Yang turut hadir ialah Ketua Sektor Psikologi dan Kaunseling, Jabatan Pelajaran Negeri Pulau Pinang, Haji Hasruldani Husain; Dekan Pusat Pengajian Sains Kajihayat USM, Profesor Dr. Amirul Al-Ashraf Abdullah; dan Ketua Hakim, Profesor Madya Dr. Zainovia Lockman dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral USM.

Teks: Puteri Najwa Othman (Pelajar praktikal MPRC)/Suntingan: Tan Ewe Hoe  

  • Created on .
  • Hits: 1026

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024