USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

KEMERIAHAN SYAWAL DIRAI BERSAMA WARGA KAMPUS

gjvkgh

USM KAMPUS KESIHATAN, 1 Julai 2018 – Biarpun 17 hari Syawal berlalu, namun Aidilfitri terus dirai oleh seluruh warga Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM) yang mengadakan Majlis Sambutan Hari Raya di Dewan Utama hari ini.

Majlis tersebut bertambah meriah dengan kehadiran Naib Canselor USM, Profesor Datuk Dr. Asma Ismail yang menzahirkan penghargaan beliau kepada seluruh warga kampus yang bersama-sama menggembleng tenaga menzahirkan sambutan semeriah ini.

"Menganjurkan majlis sebesar ini bukanlah mudah, sebaliknya memerlukan semangat kerjasama dan kesepakatan dalam kalangan semua pihak yang terlibat.

uglyu

"Saya terharu kerana warga USM mengetengahkan konsep yang berlainan untuk sambutan hari raya di kampus masing-masing, dan Kampus Kesihatan sentiasa menjanjikan sesuatu yang mengejutkan," katanya semasa berucap di majlis berkenaan.

Asma turut mengingatkan semua warga staf agar tidak melupakan hasrat universiti dalam melahirkan warga kerja yang sihat dan produktif.

vhj

"Program #USMFIT masih berjalan dan 'weight challenge' akan menilai semula berat badan setiap staf, oleh yang demikian saya berharap semua staf dapat mengawal pemakanan sepanjang Syawal ini memandangkan banyak majlis rumah terbuka diadakan," ujarnya lagi.

Majlis hari raya yang saban tahun disambut mendapat kerjasama daripada semua pusat tanggungjawab yang menyediakan pelbagai hidangan di samping hiasan gerai-gerai yang menarik dengan menampilkan pelbagai gaya kreatif.

kate

Pertandingan gerai tercantik bertemakan hari raya turut diadakan dan dimenangi oleh Pusat Pengetahuan Komunikasi Dan Teknologi (PPKT), diikuti oleh Hospital USM di tempat kedua dan Jabatan Pendaftar di tempat ketiga.

Yang turut hadir di majlis tersebut adalah Timbalan Naib Canselor Akademik Dan Antarabangsa, Profesor Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah dan isteri Profesor Dr. Azlina Harun @ Kamaruddin; Pengarah Kampus Kesihatan, Profesor Dato' Dr. Ahmad Sukari Halim; Pengarah Hospital Raja Perempuan Zainab II, Dr. Hjh. Selasawati Hj. Ghazali; ketua-ketua jabatan dan tetamu-tetamu jemputan.

Teks: Lailatul Hafiza Abdul Rashid/Foto: Wan Mohd Rashidi Wan Mood

  • Created on .
  • Hits: 1207

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024