USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

KERJASAMA PINTAR USM-MSU

 

2012-12-17 15.59.43

Shah Alam, 17 Disember 2012 -Universiti Sains Malaysia (USM) dan Management & Science University (MSU), dua buah universiti yang bertaraf 5 bintang untuk pertama kali bersetuju untuk menjalin kerjasama pintar antara sebuah universiti awam dan swasta melalui penandatangan Memorandum Persefahaman (MoU) yang dimeterai hari ini.

“Kedua-dua pihak bersetuju untuk mewujudkan kerjasama yang realistik untuk pertukaran pelajar, penyelidikan, pertukaran staf dan pentadbiran, latihan akademik malah juga dalam apa jua bidang lain yang akan dilaksanakan bersama pada masa hadapan,” kata Presiden dan Pengasas MSU, Prof. Dato' Wira Dr. Mohd Shukri Ab Yajid.

Tambahnya lagi, jika selama ini MSU banyak menjalinkan kerjasama dengan institusi pengajian tinggi di luar negara, sampai masanya untuk melihat dan memanfaatkan kepakaran serta kekuatan yang ada dalam kalangan universiti awam dalam negara untuk saling mengukuhkan antara satu sama lain dalam jangka panjang.

MoU tersebut ditandatangani oleh Mohd. Shukri bagi pihak MSU manakala Naib Canselor Prof. Dato’ Omar Osman menandatanganinya bagi pihak USM. Hadir sama menyaksikan upacara tersebut ialah CEO/Naib Canselor MSU Prof. Dato' Dr. Junainah Abd. Hamid, Naib Presiden Pelajar, Pembangunan Kerjaya dan Hubungan Industri MSU Prof. Dr. Mohd. Zainul Fithri Othman, Timbalan Naib Canselor (Hal-Ehwal Akademik dan Antarabangsa) USM Prof. Ahmad Shukri Mustapa Kamal dan Pengarah Pejabat Komunikasi Strategik, Prof. Badaruddin Mohamed serta ahli-ahli Senat MSU.

Menurut Omar,  kedua-dua pihak secara prinsipnya bersetuju pada peringkat awal ini menumpukan kepada pengukuhan dan penawaran program usaha sama penyelidikan yang berkaitan dengan bidang  pelancongan, kearifan tempatan dan pemindahan ilmu di samping melihat kepada program-program akademik yang relevan dengan keperluan masa hadapan.

“Tumpuan kita ialah  kepada bidang-bidang kekuatan yang dapat membantu dalam memperkasakan usaha mewujudkan hub pendidikan serantau terutamanya dalam menarik pelajar dari luar negara termasuk untuk pengajian ijazah tinggi dan pada masa yang sama dapat pula kedua-dua pihak saling membantu dalam meningkatkan kekuatan sumber manusia yang ada dalam jangka panjang,” kata Omar lagi.

Rombongan USM turut dibawa melawat prasarana yang terdapat di kampus MSU.  Universiti tersebut memulakan pengambilan pelajar pada tahun 2002 dan mendapat taraf universiti penuh pada tahun 2007.  Dlam penilaian SETARA oleh Agensi Kelayakan.  Teks/Foto: Mohamad Abdullah.

  • Created on .
  • Hits: 3318

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024