USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

SEDARI KEPENTINGAN PENCEGAHAN DAN PENGESAHAN AWAL DALAM EPIDEMIOLOGI KANSER PAYUDARA

gfhgf 800x600

USM, KUBANG KERIAN, 16 Mei 2018 – Kanser payudara merupakan satu isu hangat dalam kalangan rakyat Malaysia kerana ia merupakan kanser yang paling kerap berlaku dalam kalangan wanita di Malaysia. 

Menurut Pensyarah Unit Biostatistik dan Metodologi Penyelidikan, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr. Norsa’adah Bachok, kanser payudara merupakan satu penyakit semula jadi yang panjang dan berkembang dengan masa. 

“Kadar kanser payudara di Malaysia semakin meningkat kerana peningkatan jangka hayat penduduk, perubahan besar gaya hidup masyarakat seperti  pengambilan makanan yang mengandungi lemak haiwan dan pengurangan pengambilan sayur-sayuran, faktor risiko pembiakan seperti tidak berkahwin, tidak mempunyai anak, lewat melahirkan anak dan kurang menyusukan anak dengan susu ibu.

“Faktor risiko ini dapat dicegah melalui tingkah laku dan perubahan persekitaran serta pengetahuan mengenai faktor-faktor penyakit adalah penting kerana pencegahan dan penyaringan peringkat awal boleh dilakukan dengan mengamalkan tingkah laku sihat seperti pemakanan yang seimbang dan senaman yang kerap”, jelasnya semasa menyampaikan syarahan dalam Majlis Syarahan Umum Pelantikan Profesor yang berlangsung di Dewan Utama, hari ini.

Norsa’adah berkata, program saringan bertujuan mengesan penyakit pada peringkat awal sebaiknya sebelum gejala penyakit bermula membolehkan rawatan berkesan dilakukan dan kaedah saringan yang disyorkan ialah pemeriksaan sendiri payudara (PSP), pemeriksaan klinikal payudara serta mammogram.

dfgfdg 800x600

"Saya mengambil peluang ini bagi menjelaskan mitos yang menjadi kepercayaan masyarakat antaranya ialah kanser mudah terjadi apabila seseorang individu itu kerap menyentuh payudara, individu yang memakai coli berwayar dan sesiapa yang mendapatkan diagnosis kanser payudara akan meninggal dunia lebih awal.

“Pengetahuan tentang kanser payudara perlu ditingkatkan dengan memberikan pendidikan kesihatan bagi menimbulkan kesedaran dalam kalangan rakyat Malaysia dan pendidikan ini boleh dilakukan melalui media serta program-program mengenai kepentingan perundingan dan diagnosis awal serta kebaikan apabila mendapat rawatan awal,” ujarnya lagi.

Norsa’adah turut menegaskan bahawa sikap malu, tunggu dan berserah pada takdir dalam kalangan masyarakat Malaysia hendaklah dihapuskan kerana ia mendatangkan keburukan khususnya kepada pesakit itu sendiri.

Teks: Nur Syazwani Darzi (Pelajar praktikal UIAM)/Suntingan: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel/Foto: Mohd Asrar Mohd Rokeman

  • Created on .
  • Hits: 1393

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024