USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM JUARA SAMSUNG APPSTAR 2012

DSC 2457

Kuala Lumpur – Universiti Sains Malaysia (USM) sekali lagi membuktikan keunggulan di dalam penyelidikan dan inovasi apabila merangkul tempat pertama mengetepikan 11 pasukan bertanding peringkat akhir di Samsung Appstar 2012 baru-baru ini.

Inovasi idea oleh sekumpulan pelajar tahun akhir daripada Pusat Pengajian Sains Komputer, Universiti Sains Malaysia (USM) yang diberi nama Gynoid App, berfungsi menyediakan kemudahan isyarat kecemasan untuk telefon pintar dalam usaha mencegah jenayah yang akan berlaku.

Pasukan yang diberi nama Gynoid ini dianggotai oleh Melody Foong, Hoong Jo Lynn dan Ang Hooi Lean menerima hadiah wang sejumlah RM24,000 dan 3 buah telefon pintar Samsung Galaxy S III.

Menurut Melody Foong, aplikasi Gynoid ini berupaya menyampaikan isyarat apabila pemilik telefon tersebut berada di dalam keadaan bahaya atau sedang diintip penjenayah.

Foong berkata mangsa hanya perlu menekan butang atau menggoncang telefon pintar selama 5 saat untuk aktifkan isyarat tersebut.

“Terlalu banyak berita jenayah berlaku sekarang ini di ruang media cetak dan elektronik yang membangkitkan idea kepada kami untuk membentangkan inovasi ini kepada pihak Samsung”

Menurut beliau lagi, idea ini telah diperinci dan dikaji selama 6 bulan sebelum menyertai pertandingan Samsung AppStar 2012, untuk dibentangkan kepada pihak Samsung.

Selain itu, rakan sepasukan Hoong Jo Lynn berkata aplikasi ini juga boleh dijadikan sebagai bukti kejadian jenayah untuk dilaporkan kepada pihak polis.

Tambah beliau, berkenaan isyarat kecemasan tertentu yang akan disampaikan kepada pihak berkuasa, ia akan dilaksanakan oleh pihak Samsung selepas USM memberi gambaran dan perjalanan berkenaan sistem aplikasi tersebut.

Idea ini telah dibentangkan kepada juri-juri profesional dari Samsung yang mempunyai pelbagai kepakaran teknologi telefon pintar bersetuju meletakkan USM juara bagi pertandingan kali ini.

Samsung AppStar 2012 merupakan platform buat remaja Malaysia bertanding dan mempamerkan idea ciptaan mereka yang kreatif dan inovasi dalam pembangunan aplikasi mobil.

Kempen pertandingan ini yang berlangsung selama 5 bulan menerima lebih dari 3,700 peserta dari lebih 40 universiti dan kolej di Malaysia dan diakhiri dengan pemilihan 12 pasukan terbaik oleh para juri. Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar

  • Created on .
  • Hits: 2494

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024