USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PROFESOR ASMA: BERUSAHA LONJAKKAN KECEMERLANGAN SEMUA

Suaranya sering mendapat perhatian dalam pelbagai persidangan dan pelbagai mesyuarat yang berkaitan dengan Pembangunan penyelidikan dan inovasi universiti, bukan sahaja di dalam negeri, tetapi juga di seluruh pelosok dunia. 

Beliau bukan sahaja melihat pencapaian dan kecemerlangan peribadi, tetapi juga memastikan pembangunan bakat dan  kepakaran yang ada di sekelilingnya, malah dalam kalangan universiti yang ada dilakukan sebaik mungkin untuk diketengahkan sebagai sebahagian daripada kecemerlangan yang diingini. 

Malah juga, bukan sekadar bercakap tentang idealisme, tetapi bersikap realistik dalam memajukan apa yang menjadi tumpuannya, “brain, business and humanity”.

Demikian, jiwa besar Profesor Asma Haji Ismail, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Sains Malaysia (USM) yang akan memegang teraju kepimpinan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) pada 1 Disember ini setelah menerima watikah pelantikan pada 28 November lalu dari Dato’ Seri Mohd. Khaled Nordin, Menteri Pengajian Tinggi Malaysia di pejabat beliau dua hari lepas..

Profesor  dalam bidang Perubatan Molekul itu merupakan siswazah University of Nevada Reno Amerika Syarikat kepujian dalam bidang Biologi, menerima MA dalam bidang Mikrobiologi dari Indiana University Bloomington Amerika Syarikat serta mendapat Ph.D dalam bidang “Cellular and Molecular Biology” dari University of Nevada Reno dalam tahun 1986.

“Kecemerlangan bukan sahaja berteraskan impak tetapi perlu diseimbangkan dengan nilai dan etika . Kepimpimpinan bukan hanya untuk melonjak diri sendiri sebagai role model, tetapi berupaya  mengangkat orang lain untuk terus ke hadapan, menyediakan pemimpin untuk mengambil alih dalam sesuatu bidang kekuatan dan mempunyai iltizam untuk membantu meningkatkan nilai kemanusiaan sejagat,” kata Asma.

Dalam majlis yang diadakan untuk untuk mengucapkan tahniah dan penghargaan kepada beliau di ruang legar Bangunan Canselori USM pagi, Asma melahirkan rasa terima kasih tidak terhingga kepada USM, tempat beliau memulakan kerjaya pada tahun 1986 sebagai pensyarah di Pusat Pengajian sains Perubatan.

“Di sini saya bermula dan saya akan terus mengingatinya selama-lamanya,” kata Asma di hadapan kira-kira 500 yang menitiskan air mata pada majlis tersebut dalam ketawa, jenaka dengan kata-kata yang sering diungkapnya dan disulami dengan rasa sedih.

Pesannya kepada warga USM, “teruslah menggilap permata-permata yang ada untuk terus menjulang nama universiti ini.”

Hadir di majlis tersebut ialah isteri Naib Canselor Datin Noraizan Jamaludin, Timbalan Naib Canselor (Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat) selaku Pemangku Naib Canselor Profesor Dato’ Susie See Ching Mey,  Timbalan Naib Canselor (Hal-Ehwal Pelajar) Profesor Adnan Hussein, Bendahari Puan Hajah Salmiah Che Puteh, Pemangku Pendaftar Puan Siti Zubaidah A. Hamid,  mantan Timbalan Naib Canselor (Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat) Profesor Lim Koon Ong serta ketua-ketua Jabatan dan warga USM lainnya.

Asma yang merupakan Timbalan Naib Canselor wanita pertama di USM telah membuktikan keupayaannya dengan memberikan impak besar terhadap usaha Penyelidikan dan Inovasi  di USM sejak menerajuinya pada tahun 2008. 

USM berjaya diiktiraf sebagai universiti penyelidikan bertaraf 6 bintang dalam MyRA IPTA bagi tahun 2011 dan meningkatkan bilangan pensyarah dan ahli akademik keseluruhan yang terlibat dalam penyelidikan kepada kira-kira 85% daripada keseluruhannya. Malah juga berupaya melonjakkan penyelidikan dalam bidang seni, sastera dan sains sosial yang tentunya mempunyai kaedah dan mekanisme yang berbeza daripada Sains dan Teknologi.

Pada tahun 2012, Asma telah dilantik sebagai Naib Presiden wanita pertama Akademi Sains Malaysia. Beliau juga diberi kepercayaan  untuk menerajui CAPS R&D dan Jawatan kuasa Modal Insan Negara bagi Kementerian Pengajian Tinggi di atas kewibawaan beliau.  Asma juga dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Timbalan Naib Canselor (P&I) sejak tahun 2010.

Asma sememangnya telah membuktikan kemampuan peribadi beliau sebagai seorang ahli akademik dan penyelidik dengan mendapat pelbagai pengiktirafan bukan sahaja mendapat 6 kali Anugerah Khidmat Cemerlang USM,  malah  memperolehi lebih 100 anugerah berprestij  di dalam dan luar negara,  termasuk   “Top Research Scientist Malaysia” oleh Akademi Sains Malaysia.  Sebagai pengarah pengasas Institut Penyelidikan Perubatan Molekul (INFORMM) , beliau berjaya membawa INFORMM diiktiraf sebagai HiCoE dan Institut pertama dalam IPTA untuk memenangi Anugerah Islamic Development Bank (IDB) dalam kategori Sains dan Teknologi.

Antara anugerah lain  termasuklah International Federation of Inventors for Outstanding Malaysian Women Inventor, National Young Scientist Award (1991), Avon – Tan Sri Fatimah Malaysian Women of Distinction Award (1996), Anugerah Inovasi Negara (2006) dan Anugerah Akademik Negara (Pengkomersilan Produk) (2007).  

Asma mencatatkan namanya sebagai pelopor dan ahli pengasas pelbagai jawatankuasa utama, termasuk Jawatankuasa Penubuhan Universiti Penyelidikan, penyediaan MyRA (Malaysian Research Assessment Tool) sebagai penunjuk prestasi kecemerlangan universiti Malaysia,  pengerusi pengasas yang melaksanakan Anugerah Akademik Negara selama 6 tahun serta  Pengerusi Jawatankuasa Teknikal bagi Gerak Pintar Nobel untuk menyediakan platform bagi mendorong saintis dan ahli akademik negara memperolehi anugerah Nobel menjelang 2020. Beliau turut menduduki beberapa jawatankuasa utama lain yang melakarkan pembangunan pengajian tinggi negara secara berterusan.

Sumbangannya dalam proses pemindahan ilmu begitu besar antaranya menghasilkan 4 kit diagnostik tifoid yang telah menyelamatkan nyawa lebih 2 juta masyarakat dunia, mempelopori pasaran dalam 18 buah negara terutamanya dalam kalangan negara miskin dan membangun serta menubuhkan syarikat biodiagnostik Negara dan menyediakan lebih 500 peluang pekerjaan di serata dunia dalam jualan kit-kit diagnostik berkenaan.

Asma membuktikan kewibawaannya dengan menghasilkan penemuan asli sehingga memperolehi 12 paten peringkat antarabangsa, memenangi 33 kali anugerah produk dan menduduki pelbagai jawatankuasa di peringkat antarabangsa antaranya “Board of Trustees of the Islamic Network and Women Scientists (INWS) ISESCO. Beliau juga mendapat pengiktirafan sebagai  Felo (TWAS) The Academy of Sciences for Developing World, menerima British High Commissioner’s Award Scheme sebagai saintis kunjungan di The Medical College, St Bartholomew’s Hospital London. Di atas sumbangan pada bidang perubatan molekul dan peranan wanita dalam sains, beliau bakal menerima ijazah kehormat Doctorate of science daripada University of Glasgow, UK pada Jun 2013.

Bagi Asma, beliau berpegang kepada prinsip hidupnya dengan berusaha tingkatkan tanda aras pencapaian diri dan pada masa yang sama lonjakkan kecemerlangan orang lain untuk bersama-sama memberikan sumbangan demi kesejahteraan umat manusia, negara dan dunia.

  • Created on .
  • Hits: 3196

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024