USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PROFESOR USM TERUS LAKAR KECEMERLANGAN

IMG 5757

PULAU PINANG, 27 Nov.2012 – Profesor dari Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Dr. Abdul Rahman Mohamed diumum sebagai penerima Hadiah Utama Anugerah Sains dan Teknologi daripada Yayasan Sains Toray Malaysia (MTSF) dalam majlis penyampaian hadiah khas yang berlangsung di Kuala Lumpur,  semalam.

Beliau yang turut memegang jawatan Pengarah SAINS@USM memenangi hadiah wang tunai RM30,000 berserta sijil penghargaan yang telah disampaikan oleh Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Fadillah Yusof.

Rahman berkata, kemenangan tersebut diperoleh berdasarkan kepada beberapa kriteria utama yang menunjukkan pencapaian, kecemerlangan dan sumbangan berterusan penyelidik negara dalam bidang saintifik.

Katanya, ia turut meliputi pencapaian yang diperoleh melalui penemuan baru, pembangunan penyelidikan, penerbitan, kejayaan menjalinkan hubungan dua hala dengan rakan strategik di peringkat antarabangsa dan sebagainya.

``Kejayaan ini adalah kejayaan universiti dan saya gembira dapat meyumbang sesuatu kepada dunia penyelidikan dan juga universiti secara keseluruhan.

``Ia turut diharap dapat menyuntik semangat buat semua penyelidik khususnya di USM untuk membangunkan penyelidikan dan kajian-kajian yang mendatangkan impak tinggi kepada pembangunan ekonomi dan sosio-budaya masyarakat,’’ ujar beliau.

IMG 5652

Tambah beliau, kemenangan beliau secara lebih spesifik dinilai melalui penyelidikan nanoteknologi yang kini terbukti memberi manfaat yang begitu penting dalam industri pembuatan negara, selain turut memenangi pelbagai pengiktirafan baik di peringkat tempatan mahupun antarabangsa.

Dalam pada itu, MTSF menganjurkan majlis penyampaian anugerah tersebut secara tahunan, bertujuan untuk memberi pengiktirafan dan galakan kepada penyelidik-penyelidik di Malaysia untuk meningkatkan pencapaian bidang sains dan teknologi negara.

Anugerah lain yang turut disampaikan adalah Geran Penyelidikan Sains dan Teknologi (Institusi Pengajian Tinggi Awam/Swasta) dan Anugerah Pendidikan Sains yang turut memperlihatkan penyampaian hadiah kepada penerima cemerlang di peringkat persekolahan.

IMG 5735

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Duta Jepun ke Malaysia, Shigeru Nakamura, Pengerusi MTSF, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Omar Abdul Rahman dan wakil Toray Industries Inc. Japan, Dr. Hiroaki Kobayashi.Teks: Marziana Mohamed Alias

  • Created on .
  • Hits: 2605

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024