USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

KADS1M DIHARAP DAPAT KURANGKAN KOS SARA HIDUP SISWA-SISWI BARU USM

usmko1

PULAU PINANG, 23 November – Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Y.B. Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon hari ini menyampaikan Kad Diskaun Siswa 1Malaysia (KADS1M) kepada 28 pelajar tahun pertama yang mewakili siswa-siswi baru Universiti Sains Malaysia (USM) dalam satu majlis yang berlangsung di Dewan Tuanku Syed Putra USM.

KADS1M yang dilancarkan pada 2 Julai 2012 hasil dari cadangan yang dikemukakan oleh Majlis Perundingan Mahasiswa, bermatlamat untuk membantu mengurangkan kos sara hidup siswa-siswi di sepanjang tempoh pengajian mereka di universiti.

Dengan adanya kad ini yang dikeluarkan oleh Bank Rakyat Malaysia Bhd, siswa-siswi akan dapat menikmati kemudahan potongan diskaun hingga 60 peratus di lebih 200 buah syarikat yang mengambil bahagian di seluruh negara untuk barangan terpilih seperti buku, alat tulis, cermin mata, bayaran pengangkutan, produk teknologi maklumat (IT), kelengkapan sukan, makanan serta minuman.

Menurut Koh, di samping membantu meringankan beban perbelanjaan siswa-siswi dalam membeli pelbagai barang keperluan, KADS1M ini juga diharap dapat membantu mereka berbelanja dengan berjimat-cermat dan berhemah serta bijak menguruskan kewangan mereka.

“Ia juga menunjukkan keprihatinan pihak kerajaan tentang kebajikan siswa-siswi sebagai modal insan utama negara yang bakal menjadi pemimpin negara pada masa hadapan,” tambahnya ketika berucap dalam majlis tersebut.

usmko2

Sementara itu, dalam majlis yang sama, Koh juga merasmikan pembukaan Hari Ko-kurikulum USM anjuran Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar (BHEPP).

Koh menyambut baik komitmen dan kesungguhan yang ditunjukkan oleh pihak USM dalam menggalakkan pelajarnya melibatkan diri dalam pelbagai rancangan ko-kurikulum yang ditawarkan seperti kebudayaan, sukan, khidmat masyarakat, kesukarelawanan, keusahawanan, persatuan pelajar dan unit beruniform.

“Melalui penglibatan dalam aktiviti ko-kurikulum, ia diharap dapat melahirkan graduan yang holistik yang bukan setakat mengejar kecemerlangan akademik tetapi juga mempunyai pembentukan sahsiah, jati diri serta disiplin dan sifat bertanggungjawab yang tinggi,” katanya lagi.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar) Profesor Adnan Hussein, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa) Prof. Ahmad Shukri Mustapa Kamal, Timbalan Pengarah Pusat Rancangan Ko-Kurikulum Prof. Madya Dr. Abdul Rashid Mohamad, Pengarah Projek Hari Ko-kurikulum Mohamad Azmir Osman dan wakil Bank Rakyat, Cawangan Pulau Pinang. – Teks: Tan Ewe Hoe

 

  • Created on .
  • Hits: 2982

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024