USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

KESEPAKATAN DAN KERJASAMA SEMUA KAUM KUNCI KEHARMONIAN HIDUP

beliaindia1

PULAU PINANG, 24 Nov – Ketua Polis Pulau Pinang, DCP Dato’ Abd. Rahim Hj. Hanafi hari ini menyifatkan, keamanan dan keharmonian hidup yang dinikmati rakyat di negeri ini khususnya, dan Malaysia amnya sebagai salah satu harta yang tidak ternilai bandingnya.

Menurutnya, kerjasama yang terjalin antara masyarakat setempat dan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) telah berjaya mewujudkan satu suasana persekitaran yang selamat dan tenang untuk didiami.

‘Sebagai contoh, dari Januari sehingga November 2012, Pulau Pinang berjaya mencatatkan penurunan kes ‘fear of crimes’ sebanyak 1,588 kes atau 19% manakala bagi kes jenayah jalanan, menurun sebanyak 1,477 kes atau 70% berbanding tahun sebelumnya,’ katanya ketika merasmikan Seminar ‘Belia India dan Pencegahan Jenayah’ di Dewan Kuliah SK 3, Universiti Sains Malaysia.

Tambahnya lagi, satu pasukan khas yang dianggotai oleh 3 pegawai dan 16 anggota sokongan, telah ditubuhkan di negeri ini, khusus untuk menangani jenayah yang melibatkan kaum India.

‘Ini membuktikan bahawa polis sentiasa menjaga kepentingan semua kaum, tanpa mengira siapa minoriti, demi memastikan keselamatan kita semua sentiasa terjamin.’

beliaindia2

Pengerusi seminar, Prof. Madya P.Sundramoorthy pula menegaskan, seminar ini dianjurkan adalah untuk menyebarkan maklumat berkenaan jenayah dan tugas kepolisan kepada semua belia India di Malaysia.

‘Disamping itu, dengan adanya seminar seperti ini, ia dapat meningkatkan kesedaran dan bagaimana cara-cara kita dapat mengurangkan atau mengekang aktiviti jenayah di sekeliling kita, yang boleh berlaku pada bila-bila masa sahaja,’ ujarnya.

Turut hadir dalam seminar sehari tersebut adalah Timbalan Ketua Polis Selangor, SAC Dato’ Thaiveegan Arumugam, Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (Pulau Pinang), Dato’ Syed Jaafar Syed Ali, dan berjaya mengumpul hampir 700 belia India dari Pulau Pinang, Kedah dan Perak.

Teks & Foto : Mohamad Danial Shahri

  • Created on .
  • Hits: 3660

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024