USAH ABAIKAN KO-KURIKULUM DEMI MENGEJAR KECEMERLANGAN AKADEMIK

usmkor

PULAU PINANG, 23 NOVEMBER 2012 – “Sebagai mahasiswa Universiti Sains Malaysia (USM) yang holistik dan berdaya saing, saya menyeru agar tidak mengabaikan pendidikan Ko-Kurikulum demi semata-mata ingin mengejar kecemerlangan akademik sahaja.”

Timbalan Naib Canselor Bahagian Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar (BHEPP), Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Adnan Hussein berkata Ko-Kurikulum sememangnya memberikan peranan amat penting dalam keseluruhan pengajian sebelum pengijazahan.

“Pasaran kerja masa kini tidak semata-mata melihat ke arah kecemerlangan akademik, tetapi ia membabitkan disiplin, kepimpinan dan kebertanggungjawaban seperti yang dilatih melalui pendidikan Ko-Kurikulum” katanya ketika merasmikan Pembukaan Hari Ko-Kurikulum Universiti Sains Malaysia 2012/2013 di Dewan Tuanku Syed Putra hari ini.

Menurut Adnan sesetengah mahasiswa yang hanya menumpukan kepada pengetahuan dan kurikulum sahaja tidak akan mempunyai pemikiran yang kreatif, kurang berdaya saing dan tidak mampu keluar dari kepompong zon selesa.

“Atas sebab itulah USM mengambil inisiatif dengan menambah tempoh pengajian kepada 4 tahun bagi memberi ruang kepada pelajar mendekati aktiviti dan program Ko-Kurikulum, selain tidak menganggu waktu kuliah dan pembelajaran yang perlu dihadiri”

Turut hadir adalah Prof. Madya Dr. Abdul Rashid Mohamad, Timbalan Pengarah, Pusat Rancangan Ko-Kurikulum  dan pegawai-pegawai Pusat Rancangan Ko-Kurikulum.

Pada majlis yang sama Prof. Adnan Hussein turut sempat bersama melawat tapak pameran pasukan beruniform dan persatuan-persatuan pelajar. Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar Foto: Mohd Fairus Md. Isa

Share This

Pusat Media dan Perhubungan Awam / Media and Public Relations Centre
Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800 USM, Pulau Pinang Malaysia
Tel : +604-653 3888 | Fax : +604-658 9666 | Email : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.
Laman Web Rasmi / Official Website : Universiti Sains Malaysia
Client Feedback / Comments
| USM News Portal. Hakcipta Terpelihara USM 2015