USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

TIDAK KAWAL EMOSI MENJURUS KEPADA JENAYAH BUNUH -GRADUAN PHD

IMG 0094

PULAU PINANG, 26 April 2014 – Kegagalan seseorang individu untuk mengawal emosi dan perasaan marah boleh menjurus mereka untuk melakukan perbuatan di luar kawalan termasuk membunuh.

Demikian antara penemuan yang diperoleh dari kajian graduan Ijazah Doktor Falsafah (Ph.D) dalam bidang Kriminologi, Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Mohammad Rahim Kamaluddin.

Beliau yang mengkhusus dalam kajian membuat profil pembunuh lelaki di Malaysia berkata, menerusi temuramahnya dengan lebih 100 pembunuh yang sedang menjalani hukuman, banyak input yang boleh dikongsi bersama umum.

``Secara keseluruhan pembunuh di negara ini sebilangan besarnya didapati membunuh disebabkan faktor emosi (expressive murder), iaitu didorong oleh perasaan marah, geram atau tidak berpuas hati dengan mangsanya.

``Ini adalah antara penemuan penting yang perlu diberi perhatian dengan sewajarnya oleh semua pihak kerana perasaan marah jika tidak dibendung akan membawa kepada perlakuan yang tidak dijangka termasuk menghilangkan nyawa seseorang,’’ katanya.

IMG 0152

Beliau berkata demikian dalam sidang media khas bersama Pro Canselor USM, Tan Sri Dato’ Dr. M. Jegathesan dan Naib Canselor, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman bagi memperkenalkan graduan-graduan istimewa sempena Upacara Konvokesyen ke-51 USM di sini hari ini.

Anak kelahiran Perak itu juga berkata, motif pembunuhan juga boleh ditentukan dengan meneliti keadaan mangsa termasuk bagaimana dia dibunuh, berapa tikaman yang dibuat, objek yang digunakan dan sebagainya.

``Maklumat-maklumat ini amat penting untuk pihak berkuasa menjalankan siasatan dan mengetahui motif di sebalik pembunuhan.

``Justeru bidang ini amat penting dan lebih banyak kajian diperlukan untuk meneliti corak jenayah dan mencari penyelesaian terbaik untuk sekurang-kurangnya menurunkan kadar jenayah dengan berkesan,’’ katanya.

Beliau juga berharap lebih ramai akademia mengkhusus dalam kajian kriminologi bagi mendapatkan input  penting untuk menyumbang dalam salah satu bidang keberhasilan utama negara (NKRA) iaitu mengawal kadar jenayah di negara ini.

``Akademia boleh turut menyumbang dengan menghasilkan kajian-kajian yang berkaitan khususnya dalam mengenali jenayah secara lebih khusus.

IMG 0198jbj

`Input kajian boleh dijadikan asas penting untuk memberi panduan dan kesedaran kepada masyarakat supaya lebih bersedia serta mengambil langkah terbaik bagi mengelak dari terlibat atau menjadi mangsa jenayah,’’ ujar beliau.

Dalam pada itu, Omar pula berkata, Universiti amat berbangga dengan kejayaan para graduan, khususnya dalam bidang-bidang kritikal yang dapat memberi sumbangan kepada komuniti dan negara secara keseluruhan.

Beliau turut kagum dengan pencapaian graduan yang pada 2011 terdahulu turut dianugerah dengan Anugerah Pelajaran Diraja serta Pingat Emas Canselor atas kecemerlangannya dalam pengajian Ijazah Sarjana Muda (Sains Forensik).

``USM sentiasa memberi perhatian yang tinggi kepada usaha pemindahan ilmu kepada masyarakat dan turut komited membudayakan penyelidikan dan inovasi untuk membawa negara ke tahap negara maju,’’ tegasnya.

Selain itu, Upacara Konvokesyen ke-51 ini juga turut menyaksikan penganugerahan ijazah kepada 1,130 graduan termasuk 262 graduan ijazah doktor falsafah (Ph.D), 505 orang ijazah sarjana dan 363 orang graduan ijazah pertama.

Keseluruhannya USM telah menghasilkan 22,715 orang siswazah ijazah tinggi dan 122,318 orang siswazah ijazah pertama. Teks: Marziana Mohamed Alias /  Foto: Mohd Fairus Md Isa 

  • Created on .
  • Hits: 1855

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024