USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM TERUS PERKUKUH JARINGAN LIBATSAMA KOMUNITI

 DSC5764

PULAU PINANG, 25 April 2015 - Universiti Sains Malaysia (USM) terus mengorak langkah dalam memacu kelestarian universitinya dengan memperkukuh jaringan libatsama komuniti dan mendekati masyarakat setempat melalui program yang dianjurkan oleh Muzium & Galeri Tuanku Fauziah (MGTF).

“Kita perlu lahirkan modal insan yang kreatif dan inovatif serta berdaya saing di peringkat global. Justeru, kita perlu bersama-sama berganding bahu berusaha untuk menghasilkan, menerajui dan memupuk aktiviti sedia ada yang berkaitan dengan pembangunan lestari (sustainable development) melalui penyelidikan, sumbangan pelajar, individu, badan bukan kerajaan (NGO), badan-badan berkanun, Institusi Pengajian Tinggi (Awam dan Swasta) dan kerjasama dengan masyarakat.

 DSC5808

 DSC5809

Demikian ujar Timbalan Menteri Kesihatan Malaysia, Dato’ Seri Dr. Hilmi Yahaya ketika merasmikan program “Karnival Bestari Sains, Seni & Warisan Budaya”, di Dewan Terbuka Sekolah Kebangsaan (SK) Tan Sri Awang Had Salleh, Pulau Betong, Balik Pulau, di sini, hari ini.

Tambahnya lagi, kerjasama ini boleh dilaksanakan menerusi beberapa fasa yang berkonsepkan ‘membawa dalaman ke luar’, iaitu membawa dan mempelajari bersama berdasarkan kepakaran dalaman untuk berkongsi ilmu yang membawa manfaat kepada masyarakat seluruhnya.

Hilmi turut berharap agar USM akan terus berkongsi jaringan melalui program-program sebegini yang dapat mendekatkan masyarakat dan berkongsi ilmu tentang kepakaran masing-masing khususnya dalam merealisasikan impian kelestarian pelancongan.

 DSC5832

Dalam pada itu, Timbalan Naib Canselor Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat (BJIM) USM Profesor Dato’ See Ching Mey turut berharap agar perancangan untuk menjadikan USM sebagai tempat kunjungan pelancongan kepada masyarakat luar yang datang ke Pulau Pinang dapat diperhebat dari masa ke semasa terutamanya dalam aspek kelestarian.

“Program ini merupakan sebagai pelantar penyebaran ilmu inovatif yang bersifat holistik di dalam membudayakan ilmu sains dan teknologi kepada masyarakat seluruhnya.

“Ini merupakan satu kesedaran sosial yang memberangsangkan pihak universiti untuk memberikan komitmen secara aktif bagi menjaga kebajikan dan kesejahteraan masyarakat. Pihak universiti berazam untuk memupuk hubungan yang lebih rapat dan lebih bermakna dengan dunia luar,” kata beliau dalam ucapan alu-aluannya pada majlis yang sama.

 DSC5852

Ching Mey turut menegaskan bahawa ianya sangat bertepatan dengan objektif BJIM, USM iaitu memupuk hubungan yang erat dengan komuniti di luar sana serta membincangkan isu dan keperluan komuniti, cara pendekatan dalam penglibatan kedua-dua pihak dan usaha yang berlipat ganda serta perkhidmatan yang berkualiti.

“Apa yang diharapkan program ini juga berperanan sebagai pemangkin kepada pembangunan modal insan yang progresif dalam memperkembangkan potensi pelajar secara menyeluruh dan seimbang dari segi akademik dan sahsiah,” ujarnya lagi kepada TVUSM.

Program ini adalah program tahunan yang berpaksikan kepada program libatsama komuniti (community engagement) antara USM dan pihak industri dalam bidang sains dan teknologi khasnya yang berkaitan dengan bidang-bidang astronomi atau sains angkasa serta bidang-bidang lain yang berkaitan.

 DSC5842

Program ini juga susulan daripada perjanjian persefahaman (MoA) yang telah ditandatangani antara pihak USM (BJIM) dengan Northern Skills Development Centre (NSDC) pada tahun 2012 melibatkan penganjuran aktiviti libatsama komuniti atau bersifat kemasyarakatan.

Pengisian aktiviti dalam karnival yang berlangsung dari 23 – 26 April ini meliputi pameran, syarahan/ceramah, bengkel, “hands-on experience”, ceramah perdana, ceramah motivasi, program jemputan khas, demo sains, seni dan warisan budaya.

Hadir sama ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teluk Bahang, Balik Pulau, Datuk Shah Haedan bin Ayoob Hussain Shah dan Pengarah MGTF USM Zolkurnian Hassan.

Program ini anjuran MGTF USM dengan kerjasama dari Parlimen Balik Pulau, BJIM USM,Jabatan Pendidikan Pulau Pinang (JPPP), Radio Televisyen Malaysia (RTM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan (KPDNKK), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) danNSDC. - Teks: Siti Naquiah Binti Abdillah/Foto: Zamani Abdul Rahim

  • Created on .
  • Hits: 1395

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024