USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

BEKERJA BERSAMA DAN JADI PEMIMPIN GLOBAL, GESA RAJA PERLIS KEPADA USM

PULAU PINANG, 24 April 2015 - Raja Perlis yang juga Canselor Universiti Sains Malaysia (USM) D.Y.M.M Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Al-Marhum Tuanku Syed Putra Jamalullail menggesa agar warga USM sentiasa bekerja dengan penuh komitmen bersama-sama untuk terus berjaya pada masa hadapan.

Baginda  juga bertitah meminta agar warga USM mampu menjadsi pemimpin bertaraf dunia dalam bidang kekuatannya.

“Saya berharap seluruh warga USM akan terus berganding bahu bekerja bersama-sama, menggunakan seluruh kekuatan yang ada untuk mencapai kecemerlangan kerana hanya dengan bekerja bersama-sama dan berkongsi pemikiran dan kekuatan, kita mampu bersaing dan menghadapi pelbagai cabaran pada masa hadapan,” titah baginda di Majlis Santapan Malam Canselor bersempena Upacara Konvokesyen USM Ke-51 pada 25 dan 26 April 2015.

Titah baginda,  sekarang adalah masa untuk bekerja keras dengan sepenuh komitmen untuk menzahirkan apa yang kita janjikan selama ini dalam memacu kecemerlangan denganmembangunkan pemikiran dalam kalangan mereka yang masih muda dan mereka yang jauh berpengalaman untuk bersama-sama berganding bahu secara strategik untuk masa hadapan USM dengan   membangunkan bakat dan kesohoran yang dihormati dan disegani.

Baginda turut meminta agar USM melahirkan pemimpin bertaraf dunia yang diterima dan dihormati di pentas dunia sebagai penghubung utama yang berupaya menggunakan pemikiran merentasi apa jua sempadan yang ada.

“Universiti telah pun membuktikan dengan keupayaannya melahirkan tokoh-tokoh akademik yang disegani sebagai minda saintifik ternama rujukan dunia yang perlu diteruskan supaya lebih ramai tokoh diterima dan dihormati di pentas dunia sebagai penghubung utama yang berupaya menggunakan pemikiran merentasi apa jua sempadan yang ada,” titah baginda lagi.

Berangkat di majlis ini ialah Raja Perempuan Perlis D.Y.M.M Tuanku Tengku Fauziah binti Al-Marhum Tengku Abdul Rashid. Turut hadir ialah Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang T.Y.T Tun Dato’ Seri Utama (Dr.) Haji Abdul Rahman Haji Abbas dan isteri Toh Puan Dato’ Seri Utama Hajah Majimor Shariff, Pro Canselor USM Tan Sri Datuk Mustafa Mansur, Speaker Dewan Undangan Negeri Perlis Haji Hamdan Bahari dan isteri Hasmah Mustafa, dan Pengerusi Lembaga Gabenor USM Tan Sri Dato’ Dr. Zulkefli A. Hassan dan isteri Puan Sri Datin Noridah Nachara Hamat.

Sementara itu berucap pada majlis yang sama Naib Canselor USM, Profesor Dato’Dr. Omar Osman berkata, USM berusaha untuk bersama-sama memainkan peranan dalam menjayakan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) Kementerian Pendidikan Malaysia yang dilancarkan Pedana Menteri baru-baru ini.

“USM  boleh berbangga dengan kejayaan melahirkan siswazah berkualiti misalnya dari segi bilangan graduan yang berijazah dengan PNGK yang baik, misalnya 71% graduan berijazah dengan PNGK 3.0 – 3.66 berbanding dengan hanya 50% sebelum APEX diperkenalkan, dan graduan berijazah dengan PNGK di antara 3.7 hingga 4.0 meningkat lebih 5% berbanding dengan hanya 1% sebelumnya,” kata Omar.

Namun, tegasnya USM perlu bersedia menghadapi cabaran masa hadapan yang lebih getir nanti misalnya bagaimana untuk mengurangkan kos penghasilan pelajar yang pada masa ini melalui pengurusan kejat atau lean management yang lebih cekap dan berkesan, memastikan lebih ramai saintis diterima dan diiktiraf di pentas dunia, penghasilan lebih banyak penerbitan yang berkualiti, diiktiraf dan dirujuk serta  membawa lebih ramai alumni untuk turut membantu dalam perkembangan dan pembangunan universiti supaya sentiasa relevan dan berdaya saing pada masa hadapan.

“Semua ini memerlukan pemikiran strategik jangka panjang yang perlu dirangka dan dilaksanakan dengan menggunakan tadbir urus yang baik dan berakauntabiliti kerana universiti bukan sahaja perlu dibangunkan dengan idealismenya tetapi bersikap dan bertindak dengan realistik dalam memenuhi harapan masyarakat, rakyat, negara dan dunia,” kata Omar.

Tambahnya, USM juga  berusaha keras untuk menjalankan perkongsian pintar dengan pelbagai negara melalui lebih 425 perjanjian persefahaman yang ada, membangunkan bidang kekuatan baharu sebagai Sains Penuaan yang dibuat bersama-sama Institut RIKEN Jepun, bekerjasama dengan universiti di Korea, Republik Rakyat China dan Arab Saudi dalam bidang akademik dan antarabangsa, malah membangunkan kampus penyelidikan di Sains@USM, memperkasa hubungan dengan industri dan pelbagai usaha lain malah kita berusaha menggembleng pemikiran pelbagai pihak sama ada dalam kalangan anak-anak muda kita mahu pun ahli-ahli perniagaan dan tokoh korporat yang berjaya untuk terus ke hadapan dalam melihat senario masa hadapan universiti pada 30 tahun yang akan datang.

“USM akan terus mengorak langkah untuk menyusun pemikiran strategik yang melibatkan pelbagai pihak dan menyusun program-program yang berterusan untuk menjayakan PPPM(PT) dan terus menghadapi cabaran yang ada dan gigih melaksanakan usaha bersama-sama industri dalam merealisasikan usaha tersebut,” kata Omar lagi.

Pada Sidang Pertama Upacara Konvokesyen kali ini yang akan dipengerusikan oleh Canselor USM mulai jam 10 pagi 25 April 2015, Presiden Malaysian Press Institute dan tokoh dalam bidang kewartawanan, Dato’ Chamil Wariya adalah antara graduan yang akan menerima Ijazah Doktor Falsafah di samping  kumpulan pertama 12 orang graduan dari Universitas Internasional Batam, Indonesia yang menerima Ijazah Doktor Pentadbiran Perniagaan USM.

Upacara Konvokesyen ke-51 ini juga turut menyaksikan penganugerahan ijazah kepada 1,130 graduan termasuk 262 graduan ijazah doktor falsafah (Ph.D), 505 orang ijazah sarjana dan 363 orang graduan ijazah pertama.

Keseluruhannya USM telah menghasilkan 22,715 orang siswazah ijazah tinggi dan 122,318 orang siswazah ijazah pertama.

Upacara Konvokesyen ke-51 USM juga boleh ditonton secara live streaming untuk ketiga-tiga sidang.

Teks: Mohamad Abdullah

  • Created on .
  • Hits: 1181

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024