USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

KOKURIKULUM TERAS TRANSFORMASI “H.E.B.A.T”

23843310 1598452606882433 5008607106694917525 n

PULAU PINANG, 24 November 2017 – Universiti Sains Malaysia (USM) jelas sekali sedang bergerak secara proaktif dan komited dalam melahirkan graduan mengikut acuan USM iaitu graduan dengan ciri-ciri H.E.B.A.T., akronim bagi Holistic, Entrepreneurial, Balanced, Articulate dan Thinking.

Menurut Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni) USM, Profesor Dato’ Dr. Adnan Hussein, semua mahasiswa mestilah mengambil serius aktiviti ko-kurikulum yang ditawarkan oleh Pusat Rancangan Kokurikulum USM dan bersungguh-sungguh dalam melaksanakannya.

23755175 1598453433549017 290449635826127518 n

“Hal ini kerana aktiviti kokurikulum ini sebenarnya mampu membentuk peribadi dan perwatakan yang mulia pada mahasiswa di samping menjadikan mereka insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani, sehaluan dengan aspirasi Falsafah Pendidikan Negara,” kata Adnan, mewakili Naib Canselor USM, ketika merasmikan Hari Kokurikulum Sidang Akademik 2017/2018 yang berlangsung hari ini Dataran Merah, USM.

Katanya lagi, mahasiswa juga perlu mengikis mentaliti atau mindset untuk menyertai aktiviti kokurikulum semata-mata untuk mengumpul mata MyCSD bagi pengijazahan.

“Sebaliknya, mereka perlu melihat Kursus Kokurikulum Berkredit (KKB) yang telah diperkenalkan di Institut Pengajian Tinggi ini sebagai platform untuk mereka mengasah kemahiran insaniah mereka, yang meliputi kemahiran berkomunikasi, kerja berpasukan, berpemikiran kritis dan menyelesaikan masalah, pembelajaran berterusan dan teknologi maklumat, etika moral, keusahawanan dan kepemimpinan, sejajar dengan agenda H.E.B.A.T,” tambah Adnan.

23755706 1598454966882197 2919175463662153784 n

Beliau juga mengesyorkan agar program kokurikulum yang sedia ada mungkin boleh dinilai dan dikaji semula untuk tujuan penambahbaikan dalam usaha melahirkan graduan yang H.E.B.A.T.

“Saya juga menyeru agar lebih ramai ketua jabatan (PTJ) untuk turun padang dan hadir bersama untuk merasai dan meraikan bersama kehebatan pencapaian pelajar-pelajar kita dalam pelbagai lapangan, kerana pastinya kehadiran mereka akan menyemarakkan lagi semangat pelajar untuk melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti seumpama ini,” katanya lagi.

Untuk memeriahkan lagi majlis, para hadirin yang melebihi 180 orang disajikan dengan persembahan menarik seni mempertahankan diri dari para pelajar iaitu Karate, Silat Cekak dan Taekwando serta gimik flashmob Hari Kokurikulum 2017.

23844603 1598455046882189 8350165131912608262 n

Yang paling istimewa pada perasmian Hari Kokurikulum kali ini ialah pelancaran logo Pusat Rancangan Kokurikulum USM yang disempurnakan oleh Dato’ Adnan.

Tetamu kenamaan juga dibawa melawat booth pameran dan promosi persatuan/kelab termasuk badan-badan beruniform di tapak pameran yang didirikan di ruang legar DTSP.

Antara yang turut hadir ialah Pengarah Pusat Rancangan Kokurikulum USM, Profesor Madya Dr. Ahmad Tajuddin Othman; Penyelaras Kokurikulum, Pusat Rancangan Kokurikulum Kampus Kejuruteraan USM, Dr. Mohd Salman Abu Mansor dan Pengarah Projek Hari Kokurikulum USM Sidang Akademik 2017/2018, Fenny Lo Nyuk Yun.

Teks: Tan Ewe Hoe

  • Created on .
  • Hits: 1960

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024