USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM SASAR LAHIRKAN AHLI FARMASI 9 BINTANG

MPCCC

PULAU PINANG, 15 Disember 2017 – Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Pusat Pengajian Sains Farmasi (PPSF) berfokus ke arah melahirkan mahasiswa yang mampu mencapai tahap Ahli Farmasi 9 Bintang.

Dekan PPSF, Profesor Dr. Habibah A. Wahab berkata, ciri-ciri Ahli Farmasi 9 Bintang ini merangkumi peranan ahli farmasi sebagai penjaga/pengasuh (“care-giver”), pembuat keputusan, penyalur maklumat, pengurus, pelajar sepanjang hayat, pendidik, pemimpin, penyelidik dan usahawan.

“Asas pendidikan di PPSF bukan hanya berfokus kepada kecemerlangan akademik sahaja, sebaliknya di peringkat awal lagi mahasiswa PPSF telah dipupuk dan dibimbing agar mencapai tahap kecemerlangan yang seiring dengan perubahan semasa,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya ketika Majlis Makan Malam “Pharmily Homecoming Gala Dinner” yang dibuat khas bagi meraikan Alumni PPSF bersempena 45 tahun penubuhannya, serentak pelancaran  Buku Meja Kopi (Coffee Table book) di sini hari ini.

Majlis berkenaan disempurnakan dengan kehadiran Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri dan Masyarakat, Profesor Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed; Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi Kementerian Kesihatan Malaysia, Dr. Salmah Bahri; Presiden Malaysian Pharmaceutical Society, Amrahi Buang dan sebagainya.

Habibah juga berkata, seiring dengan reputasi tinggi USM sebagai pelopor kepada pengajian farmasi di Malaysia yang ditubuhkan pada tahun 1972, PPSF sentiasa komited untuk memperkasakan kecemerlangan pusat pengajian dan mahasiswanya.

“Ternyata konsep pendidikan berteraskan Ahli Farmasi 9 Bintang ini telah berjaya melahirkan graduan berkaliber tinggi serta berdaya saing di peringkat nasional dan antarabangsa.

“Alumni PPSF bukan sahaja laris dalam negara, malah lesen yang dimiliki graduan dari pusat pengajian ini turut mendapat pengiktirafan oleh negara lain seperti Singapura dan sebagainya,” katanya.

MPC SOARING

Dalam pada itu, majlis yang disertai lebih 200 peserta itu dimeriahkan dengan kehadiran para alumni terkemuka PPSF termasuk Mantan Naib Canselor USM yang juga mantan akademia PPSF, Tan Sri Dato’ Dzulkifli Abdul Razak; mantan-mantan dekan termasuk Datuk Dr. Gan Ee Kiang, Dato’ Dr. Chan Kok Ewe dan ramai lagi.

Para alumni PPSF terdiri dalam kalangan individu yang berjaya menempa nama menjadi pemimpin dan melakari kejayaan bukan sahaja di peringkat nasional malahan mendapat pengiktirafan di peringkat global.

Selain daripada itu ada di antara alumni juga menjadi usahawan dan berjaya memiliki rangkaian kedai farmasi seluruh negara, selain terdapat juga alumni yang bertindak sebagai konsultan kepada syarikat-syarikat farmaseutikal terkemuka.

Teks: Marziana Mohamed Alias

  • Created on .
  • Hits: 2246

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024