USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

INSTITUSI PENDIDIKAN TINGGI PERLU BERSAMA PIHAK INDUSTRI BANGUNKAN NEGARA

SINTOK, 12 Disember 2017 – Institusi pendidikan tinggi negara diseru supaya menyebarkan ilmu melalui penyelidikan bersama pihak industri dan masyarakat dalam memberi manfaat kepada pembangunan negara.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Profesor Negara, Professor Datuk Dr. Raduan Che Rose, hal ini penting dalam melonjakkan aktiviti kesarjanaan dan hubungan di antara industri, komuniti dan institusi pengajian tinggi di Malaysia.

"Ilmu itu tidak mempunyai makna sekiranya ia tidak digunakan bagi tujuan pembangunan masyarakat dan negara. Ia juga tidak hanya berfokus pada aspek pengetahuan dalam bidang teknikal sahaja, namun ia memerlukan pengurusan yang bijak bagi membolehkan keputusan yang tepat dibuat," katanya sempena majlis perasmian Persidangan Kebangsaan Pemindahan Ilmu Keempat (NCKT 2017) di sini, semalam.

Jelasnya, negara kini berada di ambang Revolusi Industri Keempat dan era ekonomi digital yang melibatkan teknologi automasi yang memerlukan masyarakat dan negara melakukan perubahan seiring dengan transformasi digital supaya dapat kekal berdaya saing dengan negara lain.

“Revolusi Industri 4.0 telah membuka ruang pembentukan satu sistem siber-fizikal yang mana kegunaan robot terus meningkat selaras perkembangan dunia era moden kini,” tambahnya lagi.

Sementara itu, Pengerusi Program Pemindahan Ilmu, Profesor Dato’ Sr. Dr. Omar Osman berkata, persidangan ini menunjukkan usaha pihak Kementerian Pendidikan Tinggi dalam meletakkan Pusat Pemindahan Ilmu (KTP) di bawah Pelan Strategik Pendidikan sebagai Projek Agenda Kritikal yang ke-18 sebagai usaha penyambung kepada penyelidikan yang telah dijalankan di universiti dengan tujuan penyebaran dan perkongsian ilmu.

“Melalui persidangan ini, lebih 120 kertas kerja akan dibentangkan oleh para akademia dengan berkongsi pengalaman mereka dalam bidang penyelidikan yang dilihat banyak membantu pihak industri dan masyarakat,” kata Omar, mantan Naib Canselor USM yang kini Naib Canselor DRB-Hicom University of Automotive Malaysia.

Yang hadir sama ialah Pengerusi Eksekutif NADICorp Holdings Sdn. Bhd, Tan Sri Dr. Mohd. Nadzmi Mohd. Salleh dan Pengerusi NCKT 2017 merangkap Pengarah Pusat Pemindahan Ilmu USM, Profesor Dr. Haslan Abu Hassan.

Kira-kira 150 orang peserta menghadiri persidangan dua hari ini yang bermula semalam di sini.

Teks: Syuhada Abd. Aziz

  • Created on .
  • Hits: 1060

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024