USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

RAPID PENANG LANCAR LALUAN 804 DALAM KAMPUS KEJURUTERAAN USM

hjghyu

PULAU PINANG, 11 Disember 2017 – Warga Kampus Kejuruteraan Universiti Sains Malaysia (USM) kini mempunyai akses kepada kemudahan bas awam apabila Rapid Penang melancarkan perkhidmatan laluan 804 yang beroperasi dalam kawasan kampus menuju ke Parit Buntar-Nibong Tebal hari ini.

Pengarah Kampus Kejuruteraan USM, Profesor Dr. Nor Azazi Zakaria berkata, kemudahan ini adalah antara usaha memberi keselesaan kepada warga kampus untuk berulang-alik ke kawasan luar kampus.

"Perkhidmatan ini bukan sekadar dinanti-nanti oleh warga kampus, malah masyarakat di sekitar turut mendapat manfaat kerana tidak ada pengangkutan awam seumpamanya yang beroperasi di laluan berkenaan sebelum ini," katanya.

Ketua Pegawai Operasi Rapid Penang, Mohd Azmi Abdullah pula berkata, pihaknya amat komited memberikan perkhidmatan bas henti-henti kepada masyarakat yang memerlukan.

"Kami sentiasa mengutamakan keselesaan kepada pelanggan, selain memfokuskan kepada memberikan perkhidmatan yang dapat membantu memajukan sesuatu kawasan," katanya.

Dalam pada itu, para kenamaan dalam majlis berkenaan turut dibawa menaiki bas Rapid Penang melalui kawasan-kawasan yang berada dalam laluan 804 termasuk Jalan Belatuk, Bukit Panchor, Ampang Jajar, Pekaka, Padang, Sekolah terus ke Terminal Bas Parit Buntar dan sebaliknya.

Teks: Marziana Mohamed Alias

  • Created on .
  • Hits: 1324

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024