USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

BCN TAMPIL KEINDAHAN DAN KEUNIKAN TRADISI MASYARAKAT BORNEO

USM, KUBANG KERIAN, 8 Disember 2017 - Borneo Cultural Night (BCN) 2017 merupakan salah satu aktiviti tahunan mahasiswa Borneo Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM) di bawah anjuran Sekretariat Bayu Kenyalang.

Bertemakan "Warrior: Valiant, Sacrifice," BCN diadakan bertujuan untuk memperkenalkan budaya dan kehidupan etnik serta kaum yang tinggal di kepulauan Borneo kepada warga USM serta masyarakat sekitar.

Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan USM, Profesor Dato' Dr. Ahmad Sukari Halim berkata, program ini adalah kesempatan yang baik kepada mahasiswa bagi menerapkan kefahaman tentang kehidupan masyarakat majmuk di Malaysia apabila bersama-sama dalam melaksanakan suatu program.

"Peluang ini perlu dimanfaatkan untuk mengenali persamaan dan perbezaan budaya yang ada kerana USM sememangnya amat mementingkan pembangunan sahsiah pelajar.

"Aktiviti-aktiviti seperti ini dilihat mampu meningkatkan kemahiran insaniah mahasiswa kerana pada era globalisasi yang penuh dengan cabaran ini, ilmu daripada buku akademik tidak semestinya boleh menjamin kejayaan tanpa melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti kemasyarakatan dan kebudayaan," ujar beliau.

BCN kali ini menampilkan kepelbagaian persembahan pentas seperti sketsa, tarian tradisional, tarian kontemporari dan moden serta nyanyian lagu tradisional dan moden.

Antara tarian yang dipersembahkan adalah Tarian Ngajat, Tarian Melanau Alu-alu dan tarian dari suku kaum Orang Ulu iaitu Dak Oh dari negeri Sarawak manakala tarian daripada Sabah pula Manggalang Mogunatip suku kaum Murut dan Limbai Sabah suku kaum Bajau.

Lebih 500 orang penonton memenuhi Dewan Utama dan kemeriahan BCN kali ini turut dirasai oleh mahasiswa daripada Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Universiti Malaysia Kelantan (UMK).

Yang turut hadir dalam majlis tersebut ialah Timbalan Dekan Pusat Pengajian Sains Perubatan (Siswazah dan Latihan Ikthisas), Profesor Dr. Abdul Razak Sulaiman; Timbalan Pendaftar Kanan Kampus Kesihatan, Hj. Yusoff Abdullah dan Penolong Pendaftar Unit Pembangunan Pelajar, Kebudayaan & Keusahawanan merangkap Penasihat Sekretariat Bayu Kenyalang, Khairul Syahmi Brahim.

Teks: Lailatul Hafiza Abdul Rashid/Foto: Mohd Amin Syafiq Sakri

  • Created on .
  • Hits: 943

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024