USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM TERAJUI PENYELIDIKAN OBOR-OBOR BAGI 10 NEGARA

 

EAM 4920

PULAU PINANG, 5 Disember 2017 – Universiti Sains Malaysia (USM) menerajui para pakar dan penyelidik dalam bidang obor-obor dari 10 buah negara di rantau ini bagi mengkaji dan mencari penyelesaian untuk mengawal dan mengelak kes-kes sengatan berbahaya yang disebabkan oleh haiwan tersebut.

Menurut Pengarah Pusat Kajian Samudera dan Pantai (CEMACS) USM Profesor Dato’ Dr. Aileen Tan Shau Hwai pemilihan USM dibuat oleh WESTPAC bagi menerajui penyelidikan tersebut dan merangka plan lima tahun yang lebih komprehensif serta bersedia untuk menangani obor-obor yang bahaya.

Aileen berkata demikian ketika sidang media sempena bengkel sehari “The Emerging Jellyfish Threat: The Threat & Possible Responses” yang diadakan di CEMACS USM di Teluk Bahang, Pulau Pinang.

Bengkel tersebut yang dihadiri oleh pakar obor-obor dari Malaysia, Jepun  dan Thailand itu membincangkan isu-isu terkini mengenai obor-obor serta berkongsi pengalaman cara dan kaedah penyelesaian masalah sengatan obor-obor yang boleh mendatangkan maut.

Kesemua pakar bersetuju menyatakan cuka atau vinegar adalah kaedah terbaik bagi mematikan dan membantutkan sel-sel sengat bagi mengelak perjalanan bisa sengatan obor-obor itu dari merebak ke seluruh badan namun ada sesetengah kawasan yang menggunakan jus bunga seri pagi.

“Oleh yang demikian, pada hari ini kita melancarkan papan tanda amaran mengenai obor-obor berserta langkah-langkah yang perlu diambil jika terkena sengatan dan juga sebotol cuka untuk kegunaan mangsa,” tambah Aileen.

EAM 4877

Namun begitu, bagi para nelayan di Pulau Pinang terutamanya di bahagian Balik Pulau mereka merawat sengatan tersebut dengan menggunakan minyak gamat.

“Kami akan sapu minyak gamat namun ada sesetengah yang tidak kuat mereka akan pengsan dan para nelayan lain akan bantu untuk dapatkan rawatan di hospital,” kata wakil nelayan Balik Pulau, Wan Mohizan Wan Hussein.

Bagi jurulatih renang jarak jauh, Philip Tan pula berkata, kadangkala para penganjur pertandingan tidak menitikberatkan keselamatan peserta renang.

“Saya berharap pada masa akan datang penganjur akan lebih berhati-hati serta memilih kawasan yang lebih selamat,” tambah Philip Tan.

Menurut pensyarah CEMACS yang juga pakar dalam bidang marin, Profesor. Dr. Zulfigar Yasin, sebanyak 600 kes sengatan obor-obor telah dilaporkan sepanjang tiga tahun lalu di Pulau Langkawi dan tiga kes yang menyebabkan kematian.

“Saya berharap melalui kajian-kajian ini nanti kita akan dapat menyediakan Standard Operating Prosedure (SOP) langkah-langkah yang perlu diambil oleh mangsa dan orang awam serta pemantauan di lautan secara berkala bagi mengenalpasti waktu yang sesuai untuk penganjuran sukan air dan waktu pembiakan obor-obor,” tambah Zulfigar yang turut membentangkan mengenai “Serious concerns about jellyfish and our changing seas”.

EAM 4893

Sementara itu, Aileen juga berharap pihak kerajaan dan swasta serta pihak-pihak pusat peranginan untuk bekerjasama bagi mengatasi bersama isu yang dihadapi.

Untuk rekod, BoxJellyfish atau nama saintifik Chironex adalah obor-obor yang dikatakan paling bahaya dan boleh menyebabkan kematian dalam lingkungan hanya beberapa saat sahaja.

Teks: Nor Rafizah Md Zain / Foto: Ebrahim Abdul Manan

  • Created on .
  • Hits: 1816

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024