USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

CELEBRAL PALSY BOLEH DIRAWAT AWAL

2015 04 23 10.19.50

KUBANG KERIAN, 23 April 2015 - Cerebral Palsy (CP) mampu pulih jika dirawat awal.

Pensyarah Kanan Terapi Carakerja, Pusat Pengajian Sains Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM) Dr. Mohd Zulkifli Abdul Rahim dalam temu ramah dengan stesen radio hari ini berkata, penyakit CP mempunyai potensi dan peluang pulih jika diberi rawatan awal.

"CP boleh dirawat dengan dua cara iaitu melalui rawatan perubatan dan rawatan pemulihan, dengan rawatan pemulihan perlu dilihat dalam jangka masa panjang kerana mungkin tidak akan sembuh dalam masa yang singkat," kata Mohd Zulkifli.

CP adalah satu istilah perubatan yang menerangkan satu kondisi di mana seorang kanak-kanak yang mengalami kecederaan otak dari awal kelahiran hingga dua tahun. Masalah ini disebabkan oleh bayi lemas sewaktu dilahirkan, lahir tidak cukup bulan dan berat badan yang kurang.

Ia adalah satu keadaan neurologi yang mengganggu kawalan pergerakan dari segi kedudukan badan dan koordinasi serta mengakibatkan kecederaan pada otak yang sedang berkembang.

Dr Mohd Zulkifli Abdul Rahim

CP boleh dikenalpasti dengan melihat di mana lokasi yang ia berlaku. Jika keempat anggota terlibat sebagai spastik ia merupakan Quadriplegia, Diaplegia melibat dua anggota, Monoplegia hanya satu anggota yang terlibat manakala Hemiplegia pula melibatkan separuh badan seperti strok.

Jelasnya Mohd Zulkifli, pesakit CP masih mampu hidup seperti insan normal yang lain kerana mereka boleh menjaga diri sendiri, bersekolah dan seterusnya menjadi seorang yang produktif namun ramai ibu bapa yang mendapat anak CP akan mengalami perasaan terkejut dan tidak pasti apa yang akan berlaku pada anak mereka serta timbul perasaan bersalah dalam diri mereka.

"Ibu bapa yang mempunyai anak CP perlulah segera mendapatkan rujukan hospital yang akan dibantu dengan memberi penerangan berhubung situasi sebenar masalah yang dihadapi sekaligus mengubah persepsi minda mereka agar lebih terbuka dalam menangani masalah ini dengan cara yang betul," katanya lagi.

Mohd. Zulkifli percaya jika ibu bapa lebih tenang dan bijak mengambil tindakan ia dapat memastikan nasib anak mereka terbela melalui nasihat doktor perubatan. - Teks/Foto: Mohd Hafiz Yaacob & Muhd Zulkifli Zakaria​

  • Created on .
  • Hits: 3218

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024