USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

KERANA MINAT NURAFIQAH TEKAD SERTAI WUSHU

afiqah

 

USM, KUBANG KERIAN, 25 November 2017 – Wushu merupakan seni mempertahankan diri bangsa Cina yang wujud sejak beribu-ribu tahun dahulu. Latihan wushu merangkumi pengadunan keharmonian jasad, minda dan semangat di samping membentuk tubuh badan yang sihat.

Wushu menjadikan seseorang itu lebih berdisiplin melalui pelaksanaan teknik seni mempertahankan diri. Bertitik tolak daripada situlah Nurafiqah Hamzah, 23, pelajar tahun akhir Program Pengajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua, Universiti Sains Malaysia (USM) tekad menyertai Kelab Wushu biarpun rata-rata ahli kelab tersebut adalah pelajar berbangsa Cina.

"Saya mula melibatkan diri dalam sukan ini semasa berada di tahun dua pengajian dan mendapat sokongan daripada rakan-rakan serta tidak dipinggirkan walaupun saya orang Melayu.

"Sejak kecil saya suka menonton cerita kungfu dan daripada situlah saya memupuk minat walaupun pada mulanya segan untuk sertai kelab wushu memandangkan semuanya ahlinya berbangsa Tionghua tetapi dengan bantuan seorang rakan, saya berjaya menyertai kelab tersebut sehingga hari ini, saya berada di sini untuk menyertai Kejohanan Wushu Antara Universiti," tambah beliau. 

Gadis kecil molek berasal dari Sarawak ini merupakan peserta Melayu tunggal yang akan bertanding dalam tiga kategori iaitu 'Traditional Fist, Traditional Long Weapon dan Traditional Short Weapon'.

Beliau tidak meletakkan harapan yang tinggi untuk memenangi mana-mana kategori kerana ini merupakan penyertaan kali pertama dan sebagai satu pendedahan serta pengalaman untuk lebih maju dalam sukan wushu.

Nurafiqah adalah antara 110 orang peserta yang menyertai Kejohanan Wushu Antara Institusi Pengajian Tinggi kali ke-5 yang diadakan selama dua hari di sini baru-baru ini.

Teks & Foto: Lailatul Hafiza Abdul Rashid

  • Created on .
  • Hits: 940

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024