USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

KEJOHANAN WUSHU ANTARA UNIVERSITI 2017 TARIK LEBIH RAMAI PESERTA

USM, KUBANG KERIAN, 25 November 2017 – Seramai 110 orang peserta berkampung di Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM) bagi menyertai Kejohanan Wushu Antara Institusi Pengajian Tinggi kali ke-5 yang diadakan selama dua hari bermula hari ini.

Kejohanan tersebut bukan sahaja disertai oleh universiti awam seperti Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Malaya (UM), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) malahan universiti swasta turut menghantar wakil seperti Universiti Tunku Abdul Rahman (UNITAR) Kampus Sungai Long, Methodist College Kuala Lumpur (MCKL), dan Multimedia University (MMU). Tidak ketinggalan tuan rumah USM yang menghantar penyertaan daripada dua kampus iaitu Kampus Induk dan Kampus Kesihatan.

Dekan Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP) USM, Profesor Dr. Shaiful Bahari Ismail telah merasmikan kejohanan tersebut di Dewan Utama, USM.

Beliau yang mewakili Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan USM berkata, jumlah penyertaan kali ini lebih ramai berbanding tahun sebelumnya menunjukkan kejohanan ini semakin mendapat perhatian daripada universiti-universiti luar.

"Kejohanan ini membuka peluang memperkenalkan seni wushu kepada masyarakat kerana wushu bukanlah seni mempertahankan diri semata-mata malahan ianya mempunyai keunikan tersendiri.

"Saya amat berbangga dengan mahasiswa dan mahasiswi di Kampus Kesihatan ini khususnya kerana dalam kesibukan belajar, mereka turut aktif dalam bidang kokurikulum dan diharapkan aktiviti seperti ini akan diteruskan bagi menjana kreativiti serta bakat dalam pelbagai bidang supaya dapat melahirkan pelajar yang cemerlang dalam mencapai hasrat mentransformasikan pengajian tinggi untuk kelestarian hari esok," ujar beliau.

Sebanyak 13 kategori dipertandingkan pada kejohanan kali ini iaitu 'Broadsword, Chang Quan, Southern Broadsword, Southern Fist, Southern Staff, Spear, Style Taichi Fist, Style Taichi Sword, Sword, Traditional Fist, Traditional Taichi Fist, Traditional Long Weapon dan Traditional Short Weapon'.

Turut hadir di majlis perasmian ialah Dekan Pusat Pengajian Sains Pergigian, Profesor Dr. Adam Husein; Penasihat Kelab Wushu USM Kampus Kesihatan, Hussin Hj. Mohd Darus serta para penaja kejohanan.

Teks: Lailatul Hafiza Abdul Rashid / Foto: Muhd Zulkifli Zakaria

  • Created on .
  • Hits: 919

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024