USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

SARINGAN KESIHATAN BERKALA PENTING UNTUK PENGESANAN AWAL DIABETES

KOTA BHARU, KELANTAN, 25 November 2017 – Pesakit diabetes terus meningkat di Malaysia dan dianggarkan kira-kira 3.6 juta (17.5%) rakyat Malaysia dewasa berumur 18 tahun ke atas menghidap diabetes. Separuh dari jumlah ini masih belum didiagnos kerana diabetes adalah satu penyakit yang senyap (silent disease) dan individu-individu ini tidak pernah menjalani saringan kesihatan.

Justeru itu, bagi meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat, Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) dengan kerjasama Persatuan Diabetes Kelantan telah menganjurkan Sambutan Hari Diabetes Sedunia bertempat di pusat beli belah Tesco Lembah Sireh.

Sambutan hari Diabetes yang disambut pada 14 November 2017, dengan tema “Wanita dan Diabetes: Kesihatan Kita, Milik Kita, Hak Kita” atau “Woman and Diabetes, Our Right to A Healthy Future” bertujuan untuk meningkatkan kesedaran mengenai bahaya penyakit diabetes dalam kalangan masyarakat, terutamanya dalam kalangan wanita.

Menurut Pakar Endokrin/Diabetes Hospital USM merangkap Presiden Persatuan Diabetes Negeri Kelantan, Profesor Madya Dr. Wan Mohd Izani Wan Mohamed menyarankan kepada semua rakyat Malaysia agar mengambil langkah-langkah berikut bagi mengurangkan risiko penyakit diabetes seperti makan secara sihat mengikut diet Pinggan Sihat Malaysia iaitu suku-suku separuh, kurangkan pengambilan makanan yang tinggi lemak dan gula serta tingkatkan pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran.

"Yang paling penting, pastikan anda menjalani saringan kesihatan secara berkala dengan memeriksa "body mass index" (BMI), tekanan darah, paras gula dalam darah dan juga kolesterol dalam keadaan normal," jelasnya.

Tambah Izani, melalui saringan yang tetap dan berkala, penyakit diabetes boleh dikesan pada peringkat awal dan rawatan optimum boleh disampaikan oleh anggota kesihatan.

"Ini akan mengurangkan risiko komplikasi akibat diabetes dan membolehkan pesakit diabetes menjalani kehidupan yang normal.

"Semoga dengan peningkatkan tahap kesedaran dan pengetahuan orang ramai terhadap penyakit diabetes, risiko penyakit dan kepentingan saringan kesihatan, diharap dapat mengubah tingkahlaku rakyat Malaysia dalam usaha mencegah dan mengawal penyakit diabetes seterusnya mengurangkan risiko kematian pra-matang akibat dari komplikasi diabetes," ujarnya lagi.

Sambutan diabetes pada kali ini telah dirasmikan oleh Penaung Persatuan Diabetes Kelantan iaitu Dato' Hajjah Tengku Salwani Ibni Al-Marhum Sultan Yahya Petra dan Timbalan Pengarah Klinikal Hospital USM, Dr. Nik Min Ahmad.

Teks: Mohamad Iqmal Mathlan / Foto: Muhammad Amin Syafiq Sakri

  • Created on .
  • Hits: 2059

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024