USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

SISA MAKANAN JADI BAJA TANAMAN POKOK DI USM

DSC 4030 800x600

PULAU PINANG, 30 November 2017 – Sisa-sisa makanan dari dalam kampus Universiti Sains Malaysia (USM) tidak lagi menjadi bahan buangan yang mencemarkan alam sekitar dengan terhasilnya baja kompos melalui sisa tersebut untuk kegunaan tanaman di dalam kampus.

Inisiatif daripada 500 orang mahasiswa Universiti Sains Malaysia (USM) yang menjalankan projek kelestarian ini bertujuan ingin bersama USM mencapai hasrat mengatasi ancaman isu alam sekitar yang dihadapi pada masa kini.

Menurut Timbalan Pengarah Pusat Kajian Kelestarian Global (CGSS), Dr. Mohd Sayuti Hassan, projek ini adalah hasil kreativiti mahasiswa yang mengambil subjek Kelestarian Isu dan Cabaran (WSU101), dan ia bukan sahaja memperjuangkan aspek kitar semula, malah membantu universiti dalam aspek penjimatan dan pembaziran.

DSC 4038 640x480

“Naib Canselor amat bersetuju dengan hasil projek kelestarian ini dan berharap perkara ini dikongsi bersama komuniti luar untuk tujuan pengajaran dan kesedaran alam sekitar. Ini menambah semangat dan keyakinan mahasiswa untuk terus mengeluarkan idea-idea kelestarian bagi tujuan berkenaan.”

Tambahnya, Pejabat Aset dan Operasi (PAO) USM turut memberi sokongan berkenaan penggunaan baja kompos hasil sisa makanan di USM ini seterusnya baja yang dihasilkan akan disalurkan kepada pihak PAO untuk kegunaan tanaman pokok di dalam kampus.

“Maka dengan adanya hasil secara tidak langsung ia mampu memberi penjimatan kepada universiti kerana baja yang dihasilkan oleh mahasiswa ini berkualiti setaraf dengan baja-baja yang dijual di pasaran luar.”

DSC 4029 800x600

Jelas Mohd Sayuti lagi, dengan sokongan ini mahasiswa mampu mempraktikkan apa yang dipelajari dalam kuliah dan dengan kemahiran yang dimiliki mereka dapat membantu menangani isu kelestarian di universiti, seterusnya dipanjangkan ke kampung dan komuniti-komuniti luar yang memerlukan.

“Selain mencipta sesuatu yang baharu daripada bahan buangan, mahasiswa juga mampu menjana ekonomi dan keadaaan sosial lebih terjamin.”

Pameran kitar semula yang diadakan di Masjid Al-Malik Khalid, USM bersempena Ihtifal Maulidur Rasul selama tiga hari ini antara tujuannya berkongsi dengan komuniti tentang aspek dan hasil produk kitar semula oleh enam kumpulan mahasiswa terbaik yang dipilih oleh CGSS dari 50 kumpulan.

Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar

  • Created on .
  • Hits: 1632

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024