USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

RCE-USM BERKONGSI KEPAKARAN ESD DENGAN KOMUNITI DESA

SEMANGGOL, PERAK, 28 November 2017 – Universiti Sains Malaysia (USM), melalui Pusat Kepakaran Serantau (RCE) baru-baru ini telah mengadakan satu program perkongsian ilmu berkaitan isu kelestarian alam sekitar (ESD) bersama komuniti desa di Sekolah Kebangsaan Kampong Selamat, di sini.

Bengkel ESD ini dijalankan bertujuan untuk menyemai kesedaran kepada murid-murid bahawa sains sebenarnya adalah sangat dekat dengan kehidupan manusia, sekaligus dapat mengikis persepsi bahawa pengetahuan sains merupakan satu cabang ilmu yang sukar untuk difahami.

Program yang diadakan selama sehari di sekolah tersebut mendapat sambutan baik dari 50 orang pelajar dari tahun 3-6 yang terlibat. Sambutan dari para pelajar amat baik bagi aktiviti Eksplorasi Sains yang disediakan khas untuk mereka.

Sambutan daripada ibu bapa pelajar juga amat menggalakkan; mereka turut hadir di waktu petang dalam sesi aktiviti bengkel menghasilkan mikroorganisma efektif menggunakan hampas buah-buahan, gula merah dan air.

Menurut Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Pelajar, Sekolah Kebangsaan Kampong Selamat, Amiruddin bin Ismail, kesedaran dan pengetahuan masyarakat umum tentang kepentingan subjek sains ini amatlah penting.

“Melihat pada wajah ceria pelajar-pelajar, ia jelas menunjukkan program ini berjaya dalam usaha menyemai rasa cinta terhadap sains, dan bengkel ini telah memberi pendedahan kepada mereka tentang ilmu sains yang di luar daripada silibus yang diperuntukkan oleh KPM,” katanya sambil menzahirkan rasa gembira dengan kehadiran pihak RCE-USM.

Ketika ditemui di bengkel tersebut, Puan Hazwani, salah seorang dari ibu bapa yang turut serta berkata, “Segala pengetahuan yang diperolehi pada hari ini amatlah bermanfaat untuk kehidupan saya, seperti larutan hampas buah-buahan yang dihasilkan untuk mencuci lantai dapat menjimatkan perbelanjaan membeli pencuci bahan kimia dan sebagainya.”

Turut serta di program tersebut ialah Penyelaras RCE-USM, Professor Dr. Munirah Ghazali; serta felo-felo RCE-USM, di antaranya  Profesor Madya Dr. Wan Nadiah Wan Abdullah; Profesor Madya Dr. Mohammad Zohir Ahmad dan Dr. Nooraida Yaakob. 

Teks: Nur Fatini Badrul Hisham (pelajar intern MPRC)/Suntingan: Mazlan Hanafi Basharudin

  • Created on .
  • Hits: 994

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024