USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

KELANASISWA USM CIPTA SEJARAH - PECAH REKOD PENERIMA ANUGERAH BADEN-POWELL TERBANYAK 2017

24059023 1602399589821068 6440161112816603619 n

USM, PULAU PINANG, 27 November 2017 - Seramai 43 ahli Kelanasiswa dari Kumpulan Latihan Kelanasiswa Malaysia (KLKM) Daerah USM telah berjaya menerima anugerah tertinggi dalam pasukan pengakap kelana yang dikenali sebagai Anugerah Baden Powell (B-P Award) sempena Istiadat Perbarisan dan Penganugerahan B-P dan Manikayu kali ke-IV 2017 baru-baru ini.

Dalam majlis yang sama juga turut menyaksikan seramai 75 orang ahli tamat mengikuti kursus kepimpinan Manikayu dan menerima sijil masing-masing.

Istiadat yang berlangsung pada 20 November 2017 ini telah disempurnakan oleh Ketua Pengakap Negara, Tan Sri Dato’ Seri Paduka Dr. Haji Shafie bin Haji Mohd. Salleh bertempat di Scout Inn Resort, Kem Pengakap Tengku Muhammad Ismail, Telaga Batin, Kuala Terengganu. 

Istiadat turut dihadiri oleh Pengerusi Majlis Pengakap Negeri Terengganu, Tan Sri Dato’ Haji Abdullah Haji Taib; Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri KLKM, Prof. Madya Dr. Hj. Abdul Rashid Mohamad; Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri Terengganu, Tuan Hj. Che Soh Muda; dan Gobbinathan yang mewakili Pengarah Bahagian Hal Ehwal Mahasiswa (BHEM) Kementerian Pendidikan Tinggi.

Menurut Abdul Rashid yang juga merupakan Pesuruhjaya Pengakap Daerah USM, sebanyak 76 calon terdiri dari ahli-ahli KLKM di Institusi Pengajian Tinggi seluruh Malaysia berjaya sampai ke peringkat akhir ujian B-P Award.

“Mereka mewakili USM, UPM, UMT, UniSZA, UPM Cawangan Bintulu, UIAM Cawangan Kuantan, Politeknik Mukah, dan Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Chembong, Negeri Sembilan,” jelasnya.

Menurutnya lagi, KLKM Daerah USM telah mencipta sejarah pada tahun ini apabila 43 ahlinya merupakan penerima anugerah B-P terbanyak sejak istiadat ini diadakan pada tahun 2014 dan kesemua mereka menerima sijil, epolet dan Rambu B-P.

“Untuk mendapatkan anugerah tertinggi belia (18 hingga 26 tahun) yang dianggap berprestij ini, mereka wajib menjalani kursus kepengakapan selama 2 tahun minimum, berjaya menjalani ujian untuk mendapatkan 4 lencana wajib dan menghadapi 13 jenis ujian akhir selama 5 hari empat malam yang merangkumi kemahiran pengakap, kemahiran insaniah dan khidmat sukarela,” tambahnya.

Anugerah yang diperkenalkan oleh Pergerakan Pengakap Sedunia dan diiktiraf di seluruh dunia ini adalah mengambil sempena nama Baden Powell yang merupakan pengasas pergerakan pengakap dunia pada tahun 1901.

Teks asal: Prof. Madya Dr. Hj. Abdul Rashid Mohamad (PP Ilmu Pendidikan USM)/Suntingan: Hafiz Meah Ghouse Meah

  • Created on .
  • Hits: 1418

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024