USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

WARGA USM DIPERKENALKAN KEUNIKAN BUDAYA ACHEH

DSC 3817 800x600

PULAU PINANG, 25 November 2017 – Universiti Sains Malaysia (USM) dan Republik Indonesia terutamanya Kota Acheh meraikan kepelbagaian budaya kedua-dua bangsa Indonesia dan Malaysia dalam Malam Kebudayaan Indonesia 2017 yang dianjurkan oleh Persatuan Pelajar Indonesia (PPI) USM.

Menurut wakil Wali Kota Bandar Acheh, Drs. H. Zainal Arifin, budaya serumpun ini dapat mengeratkan lagi kedua-dua buah negara iaitu Malaysia dan Indonesia.

“USM sangat terkenal di Banda Acheh dan ini juga menjadi jambatan bagi menghubungkan kedua-dua bandar Acheh dan Pulau Pinang yang sangat dekat dan saling mengenali budaya masing-masing,” kata Zainal Arifin yang juga membawa beberapa kumpulan tarian khas dari Acheh untuk tontonan rakyat Malaysia, Indonesia dan seluruh warga USM.

DSC 3829 800x600

DSC 3866 800x600

“Orang Banda Acheh sangat berterima kasih kepada semua yang membantu dan membangunkan kembali kota Acheh setelah dilanda tsunami dan kini Acheh sudah cukup amat aman dan sudah menerima pengunjung dan pelancong,” tambah beliau.

Malam Kebudayaan Indonesia adalah acara tahunan PPI bagi mengetengahkan budaya Indonesia kepada warga USM. Antara tarian dan persembahan yang dipersembahkan adalah Tari Suedati, Tari Saman dan nyanyian lagu Langgolek yang mengisahkan mengenai kasih sayang seorang ibu kepada anak-anaknya.

Tambah Penasihat Persatuan Pelajar Indonesia USM, Dr. Reevany Bustami budaya yang dipersembahkan menunjukkan budaya yang hampir sama kerana Malaysia dan Indonesia adalah sedarah dan senegara yang hanya dipisahkan oleh penjajah suatu ketika dahulu.

DSC 3848 800x600

Lebih 1,000 penonton menyaksikan persembahan pada malam ini di Dewan Tuanku Syed Putra USM yang dirasmikan oleh Konsul Jeneral Republik Indonesia ke Pulau Pinang, Iwanshah Wibisono.

Turut hadir ialah Pengarah Pusat Mobiliti dan Kolaborasi Antarabangsa, Dr. Muhizam Mustafa yang berucap mewakili Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni) USM.

Teks: Nor Rafizah Md. Zain

  • Created on .
  • Hits: 1081

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024