USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

STAF TERKESAN BANJIR MENERIMA BAYARAN BANTUAN BENCANA ALAM DARI TABUNG KEBAJIKAN STAF USM

Lanjutan dari kejadian bencana banjir yang telah melanda khususnya di negeri Pulau Pinang telah menyebabkan ramai penduduk terpaksa dipindahkan ke penempatan yang lebih selamat dan banyak berlaku kerosakan harta benda. Dalam hal ini, terdapat juga staf Universiti Sains Malaysia (USM) yang turut terkesan akibat bencana tersebut.

Bagi meringankan beban dan kesukaran yang dihadapi oleh staf USM terlibat, Jawatankuasa Tabung Kebajikan Staf USM telah bersetuju menyumbangkan Bayaran Bantuan Bencana Alam sebanyak RM300 kepada 131 orang staf yang terkesan dengan bencana tersebut.

Sehubungan dengan itu, Jawatankuasa Tabung Kebajikan Staf USM mengharapkan dengan bantuan ini dapat memberi sedikit keceriaan serta sokongan moral kepada warga staf terlibat supaya tabah menghadapi dugaan yang diterima.

Mengimbas kembali objektif penubuhan Tabung Kebajikan Staf USM adalah untuk meringankan kesulitan yang dipikul oleh staf menerusi pemberian sumbangan derma/bantuan kepada staf yang mengalami kematian (termasuk kematian suami/isteri/anak), kemalangan akibat bencana alam, kebakaran serta Demasiswa Pendidikan kepada anak-anak staf yang berjaya melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi awam atau swasta.

Antara objektif lain penubuhan tabung adalah bagi menggalakkan staf menabung untuk kebajikan bersama. Maklumat lanjut mengenai faedah keahlian Tabung Kebajikan Staf USM boleh dicapai melalui laman sesawang Bahagian Sumber Manusia, Jabatan Pendaftar (bsm.usm.my).

Turut dimaklumkan bahawa semasa kejadian bencana banjir tersebut, seramai 103 orang sukarelawan terdiri daripada warga staf Universiti Sains Malaysia telah terlibat dengan misi pasca banjir iaitu pengagihan sumbangan bekalan pakaian dan makanan serta kerja-kerja pembersihan rumah mangsa-mangsa banjir di sekitar negeri ini.

Teks : Siti Aishah Abdul Raffar

  • Created on .
  • Hits: 996

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024