USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

KEJAYAAN BERGANDA GALAKSI R-3 DI KIK PERINGKAT KEBANGSAAN

r3

 

GENTING HIGHLANDS, 21 November 2017 – Kumpulan Galaksi R-3 sekali lagi berjaya mengharumkan nama Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT), Universiti Sains Malaysia (USM) apabila berjaya mendapat tempat Ketiga dan 10 Kumpulan Terbaik kategori Sektor Awam Persekutuan serta Anugerah Emas dalam Konvensyen Team Excellence Kebangsaan 2017 yang diadakan di Genting International Convention Centre (GICC) baru-baru ini.

Menurut Ketua Kumpulan GR-3, Syuhadah Sufian, beliau melahirkan rasa syukur atas kejayaan tersebut dan dapat mengharumkan nama IPPT dan USM.

“Sebagai ketua kumpulan, sudah pastinya saya berasa gembira dan bersyukur apabila hasil usaha bersama ahli kumpulan dan pihak-pihak terlibat membuahkan hasil. Kejayaan ini merupakan kejayaan bersama IPPT dan USM,” katanya.

“Kejayaan ini tidak akan berhenti setakat ini, kami akan meningkatkan usaha untuk terus mencipta banyak lagi kejayaan terutamanya di peringkat antarabangsa pada tahun depan,” tambahnya lagi.

Kumpulan Galaksi R-3 membawakan produk inovasi mereka yang diberi nama Pro-Gait17. Pro-Gait17 merupakan alat untuk membantu pesakit yang mengalami masalah berjalan yang mampu menjimatkan masa rawatan dengan mengekalkan kualiti rawatan yang sama. Strukturnya yang ringan, ringkas, mudah alih, selamat dan ergonomik dapat memberikan latihan senaman 3 dalam 1 iaitu berjalan, koordinasi dan keseimbangan tubuh.

Annual Productivity & Innovation Conference and Exposition 2017 (APIC) adalah acara utama yang dianjurkan oleh Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC). APIC menggabungkan dua perkara utama MPC iaitu Konvensyen Team Excellence (ICC) dan Kualiti Alam Sekitar (QE / 5S) yang mempamerkan pencapaian cemerlang dari industri.

Anugerah ini disampaikan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, YB Dato’ Sri Mustapa Mohamed.

Turut hadir dalam majlis ini ialah Pengerusi Perbadanan Produktiviti Malaysia, Tan Sri Azman Hashim dan Pro Canselor USM, Tan Sri Datuk Mustafa Mansur.

Teks: Mohd Faisal Jamaludin

  • Created on .
  • Hits: 1369

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024