USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

BANK ISLAM TUNAIKAN ZAKAT UNTUK PENDIDIKAN PELAJAR USM

 

EAM 3873

PULAU PINANG, 20 November 2017 – Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) meneruskan pemberian zakat kepada Universiti Sains Malaysia (USM) untuk pembelajaran dan pendidikan pelajar golongan asnaf.

“Saya berharap sumbangan ini dapat membolehkan pelajar-pelajar kita menikmati dunia pembelajaran yang lebih selesa, sekaligus membolehkan mereka memberikan tumpuan untuk membina kecemerlangan akademik dan sahsiah diri,” kata Naib Canselor USM, Profesor Datuk Dr. Asma Ismail di majlis penyerahan sumbangan zakat BIMB kepada USM yang bernilai RM55,000.

Menurut Naib Canselor USM, para pelajar USM telah menerima manfaat daripada sumbangan-sumbangan pelbagai institusi dan agensi kepada Yayasan USM iaitu seramai 80 orang pelajar Ijazah Tinggi dan Ijazah Sarjana Muda USM menerima biasiswa penuh, 500 orang pelajar telah menerima sumbangan zakat dan seramai 200 orang pelajar bottom billion (B40) yang menerima bantuan makanan percuma.

Ketua Pegawai Syariah BIMB, Mohd Nazri Chik berkata, sumbangan ini adalah untuk kepentingan para pelajar USM dan juga menunaikan tanggungjawab  sosial khas pihak BIMB kepada institusi pendidikan tinggi.

“Alhamdulillah BIMB dapat lagi menyumbang pada tahun ini dan diharap ianya memberikan manfaat kepada golongan asnaf di USM dan sebagai tambahan, pada tahun ini BIMB turut menyumbang 40 naskah buku syariah perbankan untuk rujukan warga USM,” tambah beliau yang mengetuai delegasi BIMB ke USM. 

Yang turut hadir Pengarah Yayasan USM, Profesor Dato’ Ir. Dr. Mahyuddin Ramli dan wakil Pejabat Wakaf USM, Ustaz Iswandi Abdul Mukmin dan Ustaz Nazrul Hassan.

Teks: Nor Rafizah Md Zain

  • Created on .
  • Hits: 1380

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024