USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

“A DAY FOR HEAVEN KIDS” RAI DAN SERLAHKAN BAKAT OKU DI PULAU PINANG

WhatsApp Image 2017 11 17 at 10.00.18 AM

USM, PULAU PINANG, 17 November 2017 – Program “A Day For Heaven Kids 2.0” baru-baru ini merupakan program siri kedua yang dianjurkan oleh pelajar Pendidikan Khas Tahun 2 dan Tahun 3 Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan (PPIP), Universiti Sains Malaysia (USM) dengan bimbingan pensyarah iaitu Profesor Madya Dr. Aznan Che Ahmad.

Menurut pelajar bertanggungjawab, Salman, program ini merupakan acara yang besar melibatkan beberapa buah sekolah Pendidikan Khas dan juga persatuan luar (NGO) berhampiran Pulau Pinang dan di antara sekolah dan NGO yang dijemput adalah SMK Padang Polo, SKPK Alma, SKPK Jalan Hutton, SK Sg. Rambai, CP Organisation, SMK Mak Mandin, SMK Persekutuan Pulau Pinang, SMK Teluk Kumbar, SMK Permatang Tok Jaya dan SK Tanah Liat.

“Tujuan perlaksanaan program ini adalah untuk meraikan insan-insan istimewa yang mengalami pelbagai kecacatan dan ketidakupayaan seperti serebral palsi, autisme, masalah pendengaran, masalah penglihatan, Down Syndrome, ADHD, dan sebagainya.

WhatsApp Image 2017 11 17 at 10.00.20 AM

“A Day For Heaven Kids” secara simboliknya merupakan 'hari bergembira' buat murid-murid istimewa ini,” jelasnya.

Tambahnya lagi, aktiviti utama yang dilakukan adalah Pertandingan Talent Show yang melibatkan 6 buah sekolah pendidikan khas dan Persembahan Pameran Vokasional yang melibatkan 7 buah sekolah pendidikan khas berhampiran Pulau Pinang.

Di samping itu, ceramah mengenai pendidikan khas juga turut disampaikan oleh Prof. Madya Dr Aznan Che Ahmad yang bertajuk "Peranan Guru dan Ibu Bapa" bagi memberi pendedahan mengenai murid-murid istimewa ini dalam kalangan ibu bapa dan guru yang hadir iaitu lebih kurang 60 orang kesemuanya.

“Pendedahan kepada seluruh warga USM sendiri turut dilakukan menerusi program pertama kami iaitu Pameran yang diadakan pada 9 dan 10 Oktober lalu bertempat di hadapan Perpustakaan Hamzah Sendut 1 dan melibatkan aktiviti seperti persembahan alat bantu mengajar (ABM), pengenalan bahasa isyarat, orientasi dan mobiliti, teka deria rasa dan juga photobooth.

WhatsApp Image 2017 11 17 at 10.00.19 AM

“Kami seterusnya menganjurkan pula program Charity Run yang diadakan pada 25 Oktober lalu bertempat di Padang Kawad USM bertujuan untuk mengumpul dana bagi program besar kami pada hari ini iaitu A day For Heaven Kids 2.0.,” ujarnya.

Rata-rata guru dan para peserta memberi maklum balas yang positif dan berharap agar terus melaksanakan program seperti ini pada masa akan datang kerana melalui program ini mereka dapat mengetengahkan bakat-bakat yang ada pada murid-murid istimewa ini sekaligus meraikan mereka semua.

Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah

  • Created on .
  • Hits: 1950

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024