USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

TIGA PRODUK MAKANAN TERBAIK PELAJAR KE HATYAI

 

honeydewcocopumkin

USM, PULAU PINANG, 15 November 2017 – Tiga produk makanan terbaik yang dipertandingkan sempena Food Product Development 2017 terpilih mewakili Pusat Pengajian Teknologi Industri (PPTI) Universiti Sains Malaysia (USM) dalam seminar berkaitan pembangunan produk makanan di Hatyai, Thailand penghujung November ini.

Ketiga-tiga produk berkenaan adalah pemenang tempat pertama hingga ketiga iaitu Honeydew Seed Milk, Coconut Patty dan Pumpkin Paste, kesemuanya adalah produk makanan pelajar tahun akhir PPTI yang dibuat berasaskan buah-buahan dan sayur-sayuran tempatan.

Dekan PPTI, Profesor Dr. Azhar Mat Easa, berkata, pameran produk makanan itu dianjurkan dengan matlamat memberi pendedahan kepada pelajar dalam merekabentuk produk baru yang boleh dikomersialkan dan masih setanding dengan produk pesaing.

“Para pelajar perlu sentiasa bersedia untuk dinilai dalam setiap produk yang dihasilkan. Pelanggan adalah hakim yang sebenar kerana mereka yang akan membeli produk jika berada di pasaran kelak,” katanya ketika merasmikan Food Product Development 2017 di sini baru-baru ini.

Dalam pada itu, penyelaras program Teknologi Makanan PPTI, Dr. Sapina Abdullah pula menegaskan, para pemenang akan menjadi wakil USM ke seminar berkaitan teknologi makanan di Prince Songkhla Universiti (PSU), Hatyai, Thailand pada 24 hingga 26 Novemver 2017.

Tambahnya, seminar berkenaan akan menyaksikan gabungan pelajar pasca siswazah dan ijazah pertama PPTI, USM bertanding bersama beberapa universiti di Thailand.

Dalam pada itu, selain tiga pemenang berkenaan, lima lagi kumpulan turut mempamerkan produk tahun akhir mereka, antaranya Nangkaya, Krautzel Daun Belalai Gajah, Ambarella Ice Cream, Peelnana Jam dan Mango Ginger Marmalade.

Teks: Siti Najihah Mustafa/Suntingan: Marziana Mohamed Alias

  • Created on .
  • Hits: 1401

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024