USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

INDUSTRI MADU KELULUT TAWAR PENDAPATAN LUMAYAN

EAM 3037 800x600gh

PULAU PINANG, 9 November 2017 – Pengusaha madu kelulut mempunyai prospek cerah khususnya jika komited mengusahakan penternakan kelulut secara komersial dan berupaya mengeluarkan kualiti madu yang bertaraf premium.

Rosman Mamat, 42, pengusaha madu kelulut dari Kok Lanas, Kelantan berkata, beliau yang mula-mula hanya mengusahakan madu kelulut secara kecil-kecilan kini sudah berupaya mengeluarkan hasil sekitar 70 – 100 kilogram setiap bulan.

Harga pasaran madu kelulut pada ketika ini adalah RM180 per kilogram dan permintaan terhadap madu kelulut bertaraf premium adalah tinggi kerana ia mempunyai pelbagai keistimewaan dan khasiat kepada kesihatan manusia.

“Saya mula mengusahakan kelulut secara suka-suka untuk dimakan seisi keluarga dan sama sekali tidak menyangka ia mempunyai nilai pasaran yang tinggi dan berupaya menjamin pendapatan lumayan setiap bulan,” kata pesara tentera itu yang kini menjalankan perusahaan kelulut secara sepenuh masa.

Seorang lagi pengusaha, Nordin Abu Hassan, 60, pula berkata, sejak mula mengusahakan madu kelulut pada bulan September lalu, beliau kini mampu menarik nafas lega kerana berupaya menjana pendapatan lumayan sehingga mencecah ribuan ringgit sebulan.

“Saya bekerjasama erat dengan Koperasi Bera Dun Kubu Gajah melalui Projek Madu Kelulut. Dalam masa yang sama juga saya turut mendapatkan latihan dan bimbingan bagi mengoptimumkan pengeluaran melalui kaedah yang efektif dan bersistematik,” ujarnya.

Kedua-dua pengusaha berkenaan ditemui ketika terlibat bersama Penyelidik Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Mohd Zulkifli Mustafa membuat pitching berkenaan keistimewaan dan potensi madu kelulut di hadapan Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Idris Jusoh di sini baru-baru ini.

Menurut Mohd Zulkifli, industri kelulut mempunyai impak yang cukup besar dalam memastikan kelestarian biodiversiti negara melalui peranan pendebungaan oleh lebah kelulut.

"Idea dalam penghasilan madu berkualiti ini berfokus kepada pelan strategik untuk mentransformasikan industri madu kelulut ke arah penjanaan pendapatan lestari,” ujarnya.

Teks: Marziana Mohamed Alias

  • Created on .
  • Hits: 2828

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024