USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PROF. NIK HAZLINA DINOBATKAN TOKOH AKADEMIK BAHASA MELAYU 2017

DSC 8370 800x600 640x480

PULAU PINANG, 29 Oktober 2017 – Pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM) Profesor Dr. Nik Hazlina Nik Hussain terus mengharumkan nama USM apabila dinobatkan sebagai Tokoh Akademik Bahasa Melayu 2017.

Majlis penyampaian anugerah disempurnakan oleh Menteri Besar Perak, YAB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abdul Kadir di MRSM Felda Kampus Tun Abdul Razak, Sungkai, Perak pada 26 Oktober yang lalu.

Naib Canselor USM, Profesor Datuk Dr. Asma Ismail merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada Nik Hazlina yang juga merupakan Pakar Perunding Kanan Obstetrik dan Ginekologi di Unit Perkembangan Kesihatan Wanita, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Kampus Kesihatan USM, atas penganugerahan tersebut.

Penganugerahan terkini ini juga menunjukkan bahawa di sebalik kehebatan Nik Hazlina dalam bidang sains dan perubatan, beliau terus berusaha memartabatkan penggunaan Bahasa Melayu sekaligus membuktikan bahawa sastera dan sains boleh dan harus saling lengkap melengkapi.

Anugerah Tokoh Akademik Bahasa Melayu (ATABM) merupakan salah satu inisiatif strategik yang terkandung dalam Pelan Tindakan Memartabatkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Ilmu di Universiti Awam (UA) 2016 hingga 2020 di bawah Objektif 1 iaitu “Memartabatkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Ilmu”.

ATABM merupakan anugerah berprestij bagi mengiktiraf sumbangan individu daripada golongan akademik pelbagai bidang dalam memartabatkan bahasa Melayu, meliputi sumbangan yang cemerlang dalam perkembangan dan penggunaan bahasa Melayu sebagai wahana melalui penyelidikan, penerbitan, pengajaran, khidmat ikhtisas dan khidmat masyarakat di peringkat Kementerian Pendidikan Tinggi.

Ia juga adalah acara kemuncak yang akan disampaikan semasa majlis sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan Peringkat Sektor Pendidikan.

Penganjuran ATABM telah bermula sejak tahun 2012. Dalam tempoh tersebut, empat orang ahli akademik telah dinobatkan sebagai Tokoh Akademik Bahasa Melayu dan tiga daripadanya adalah dari USM, iaitu Profesor Kesusasteraan dan Ombudsman, Profesor Dato’ Seri Dr. Md. Salleh Yaapar (2012) dan Profesor Sosiolinguistik dan Linguistik Sejarah, Profesor Dr. Noriah binti Mohamed (2016).

Teks: Tan Ewe Hoe

  • Created on .
  • Hits: 1412

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024