USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

EDUVARIOME BERI KESEDARAN TENTANG TALASEMIA KEPADA PELAJAR SEKOLAH

Eduvariom2017 800x600

KEPALA BATAS, 30 Oktober 2017 – Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT), Universiti Sains Malaysia (USM) bekerjasama dengan “Malaysian Node of the Human Variome Project” (MyHVP) di bawah UNESCO bagi menjayakan Projek Eduvariom yang diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Haji Ahmad Badawi di sini baru-baru ini.

Projek Eduvariom ialah program perkongsian ilmu bersama komuniti bertujuan memberi kesedaran kepada pelajar-pelajar sekolah menengah tentang penyakit Talasemia.

Bertemakan ‘Ke Arah Zero Talasemia”, program setengah hari ini telah mendapat sambutan yang baik dan dihadiri oleh seramai 150 orang pelajar sekolah.

Menurut Pengarah MyHVP yang juga pensyarah dari Pusat Pengajian Sains Perubatan USM, Profesor Dr. Zilfalil Alwi, kesedaran dan pengetahuan masyarakat umum tentang penyakit Talasemia ini perlu ditingkatkan dari semasa ke semasa.

“Kami mengambil peluang untuk mengadakan program kesedaran penyakit Talasemia ini untuk meningkatkan pemahaman masyarakat umum terutamanya pelajar sekolah menengah,” katanya.

“Diharapkan dengan adanya program seumpama ini, pelajar dapat memperoleh ilmu pengetahuan tentang kepentingan saringan genetik dalam usaha memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai Talasemia ini,” tambahnya lagi ketika berucap merasmikan program berkenaan.

Zilfalil juga amat menggalakkan mereka yang mencapai usia 16 tahun untuk menjalani ujian saringan Talasemia bagi mencegah pertambahan penyakit ini di Malaysia.

Dalam program berkenaan, sesi forum turut diadakan bagi membincangkan berkenaan keperluan Ujian Saringan Talasemia yang disertai oleh Ketua Jabatan Pediatrik Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani, Dr. Choo Chong Ming; Presiden Persatuan Talasemia Pulau Pinang, Noorasyikin Md Saad; Prof. Madya Dr. Badrul Yahaya dan Dr. Abdul Rahim Hussein yang masing-masing dari IPPT.

Talasemia adalah penyakit genetik atau keturunan yang mana anak akan mendapat gen talasemia daripada ibubapa. Ianya bukan penyakit berjangkit, iaitu tidak boleh ditransmisi melalui darah, udara dan air, atau melalui sentuhan fizikal dan seksual dengan pesakit talasemia. Lelaki dan perempuan mempunyai peluang yang sama untuk mendapat penyakit ini.

Satu daripada dua puluh penduduk Malaysia adalah pembawa gen talasemia. Di Malaysia, terdapat 600,000 hingga 1 juta pembawa talasemia dan lebih kurang 2,500 pesakit talasemia major, dan kebanyakan pesakit adalah daripada keturunan Melayu, Cina dan kaum Bumiputra Sabah.

Yang turut hadir ialah Timbalan Pengarah Penyelidikan dan Inovasi IPPT, Prof. Dr. Narazah Mohd Yusoff yang juga selaku Penasihat Projek Eduvariom IPPT dan Penolong Kanan Hal Ehwal Murid SMK Datuk Haji Ahmad Badawi, Mohd Nazir Othman.

Teks: Mohd Faisal Jamaludin

  • Created on .
  • Hits: 1083

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024