USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

BERJUANG SEHINGGA DETIK TERAKHIR

DSC 0577 800x600

USM, PULAU PINANG, 3 November 2017 – “Kugan pergi dalam masa yang sangat singkat dan dia merahsiakan penyakitnya daripada kami,” kata ibu mendiang Kugan Balasubramaniam, 23, siswazah yang tidak sempat meraikan kejayaannya dalam Upacara Konvokesyen ke-55 Universiti Sains Malaysia (USM) baru-baru ini.

Pasangan S. Malliga, 55, seorang suri rumah dan suami, G. Balasubramaniam, 53, bekerja sebagai mekanik kehilangan anak sulung dari dua orang adik-beradik pada bulan Mei lalu setelah disahkan mengidap kanser usus pada akhir tahun lalu.

“Kugan sudah dapat merasai penyakitnya dan mengenal pasti simptom-simptom sebelum disahkan oleh doktor pakar namun beliau tidak berkongsi penderitaannya dengan sesiapa pun,” kata ibunya.

“Malah, Kugan masih meneruskan pengajiannya dalam kesakitan sehinggalah beliau tidak dapat menanggungnya lagi dan pulang ke rumah,” tambah Malliga.

“Mendiang Kugan adalah seorang pelajar yang sangat bijak dan selalu mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan termasuk Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan menghabiskan Matrikulasi dengan keputusan Purata Nilai Gred Kumulatif 4.00,” tambah ibunya sambil mengalirkan air mata.

Turut sama hadir bagi menerima ijazah mendiang Kugan adalah rakan karibnya, M. Kesavan, 23 tahun. Kesavan yang masih menuntut berkata mereka telah berkawan sejak di bangku sekolah rendah lagi dan kehilangan Kugan sangat meninggalkan kesan yang mendalam dalam dirinya.

“I will be with your parents no matter what happens,” itulah janji Kesavan kepada mendiang Kugan di hari terakhir bersamanya.

Mendiang Kugan diberikan Ijazah Anumerta dalam bidang Teknologi Makanan oleh Pro-Canselor USM, Tan Sri Datuk Mustafa Mansur dan mendiang adalah antara 6,850 orang siswazah yang menerima ijazah masing-masing pada upacara Konvokesyen ke-55 USM yang berlangsung dari 28 Oktober sehingga 2 November lalu.

Teks: Nor Rafizah Md. Zain  

  • Created on .
  • Hits: 1010

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024