USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

WARGA EMAS ANTARA PENERIMA IJAZAH SARJANA MUDA

USM, PULAU PINANG, 1 November 2017 – Usia bukanlah penghalang bagi warga emas, Krishnan Madavanair, 73, untuk mencapai kejayaan dalam akademik apabila berjaya menerima Ijazah Sarjana Muda Sains Kemasyarakatan pada Majlis Konvokesyen ke-55 Universiti Sains Malaysia (USM) di sini, hari ini.

Krishnan, berasal dari Kuala Lipis Pahang, gembira apabila menggenggam segulung ijazah sarjana muda dalam tempoh lima tahun.

Khishnan berkata, keinginannya untuk belajar adalah kerana dia banyak terlibat dalam aktiviti sukarelawan dan juga politik membuatkan beliau ingin terus menyambung pengajian untuk meningkatkan taraf pendidikannya.

“Keinginan untuk belajar tidak akan berhenti dengan menggenggam ijazah sarjana muda ini sahaja, malah, saya berhasrat untuk sambung belajar ke peringkat lebih tinggi dalam bidang yang sama pada masa akan datang,” tambah bapa kepada lima orang cahaya mata ini.

Sementara itu, seorang lagi warga emas, Adnan Md Noor, 57, yang turut menerima Ijazah Sarjana Muda Sains Kemasyarakatan berkata kekangan kewangan pada usia mudanya menyebabkan dia memilih untuk melanjutkan pelajaran kini.

“Masih belum terlambat untuk menyambung pelajaran walaupun sudah berusia kerana bagi saya ilmu perlu diteroka dan dicari sepanjang hayat. Berpegang kepada prinsip ini, saya meneruskan hasrat untuk menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi dan menjayakan impian untuk menyumbang khidmat kepada masyarakat,” kata pesara polis ini.

Adnan turut menasihati golongan muda kini jika ada peluang teruskan belajar kerana beliau percaya pada prinsip proses pembelajaran seumur hidup.

Mereka adalah antara sejumlah 6,850 orang siswazah yang bergraduasi di Konvokesyen Ke-55 USM yang bermula sejak 28 Oktober dan akan tamat pada sidang terakhir iaitu Sidang ke-10 pada 2 November nanti.

Teks: Syuhada Abd. Aziz

  • Created on .
  • Hits: 1129

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024